GAZA: Tentera Israel mengumumkan ‘tactical pause’ (tangguh serang) di selatan Semenanjung Gaza untuk membenarkan lebih banyak penghantaran bantuan kemanusiaan.
Lapor Reuters, jeda masa yang ditetapkan bagi penangguhan itu bermula dari pukul 8 pagi hingga 7 malam (waktu tempatan), di kawasan Rafah.
Tujuannya adalah untuk membolehkan lebih banyak trak bantuan sampai ke Gaza melalui pintu masuk Kerem Shalom dan menghantar bekalan di sepanjang jalan utama.
Jeda itu diselaraskan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa untuk menghantar bantuan ke pelbagai lokasi di Gaza, termasuk Khan Younis dan tengah Gaza.
Keputusan untuk penangguhan ini diumumkan sebelum cuti perayaan Aidiladha yang disambut umat Islam di seluruh dunia serta selepas perbincangan dengan PBB.
Bagaimanapun, tindakan itu tetap menimbulkan ketidakpuasan hati dalam Kabinet Perdana Menteri Israel, Netanyahu yang mahu serangan tidak dinoktahkan.
Rejim zionis berkata, pertempuran di Rafah mesti kekal dilancarkan dan pihaknya tidak akan berhenti memburu pejuang Hamas.
“Serangan tidak akan dihentikan dan tidak ada perubahan berhubung kemasukan bantuan,” kata Netanyahu.
Agensi bantuan termasuk PBB tidak memberikan respons berhubung perkembangan terkini itu.
Pengarah Hal Ehwal Gaza PBB, Scott Anderson berkata pada CNN, beliau amat berharap penangguhan itu akan ‘membawa lebih banyak bantuan bagi populasi Gaza’.
Penangguhan serangan di Rafah itu, susulan Israel dan Hamas masih mempertimbangkan gencatan senjata, usul yang dibangkitkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.










