NIBONG TEBAL : Seramai 600 anggota polis dijangka bertugas sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berlangsung iaitu bermula dari hari penamaan calon Sabtu ini sehingga hari pengundian pada 6 Julai ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad kepada beliau dalam satu taklimat khas mengenai PRK tersebut baru-baru ini.
Katanya, sebagai salah satu daripada komponen penting dalam pilihan raya iaitu hal ehwal keselamatan, anggota-anggota polis yang bertugas itu dibahagikan kepada tiga fasa penugasan iaitu bermula dari hari penamaan calon, tempoh berkempen serta hari pengundian.
Beliau berkata, fasa-fasa itu membabitkan persiapan logistik selain mengenal pasti kekuatan anggota, pengumpulan maklumat berkaitan lokasi penamaan calon, premis serta laluan-laluannya dan lain-lain.
“Dalam hal ini, tidak perlu ada kebimbangan dari sudut keselamatan pengundi kerana proses pilihan raya itu adalah satu proses demokrasi,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat India Sungai Bakap, hari ini.
Pilihan raya itu terpaksa diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada Perikatan Nasional (PN) bulan lepas akibat masalah keradangan dalam perut.-UTUSAN










