PRK Sungai Bakap: Dr. Jo sah calon Kerajaan Perpaduan

PRK Sungai Bakap: Dr. Jo sah calon Kerajaan Perpaduan

JOOHARI Ariffin (tengah) ketika diumumkan sebagai calon bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK kerusi DUN Sungai Bakap di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Bekas guru dan pensyarah, Dr. Joohari Ariffin sah dipilih sebagai calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Sungai Bakap di Simpang Ampat, di sini, malam ini.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perpaduan berkata, pemilihan Joohari dibuat selari dengan kehendak pengundi di Sungai Bakap yang inginkan seorang calon terdiri daripada kalangan anak tempatan.

“Kita juga perlukan calon yang pandai mendidik. Alhamdulillah, ada calon itu. Jadi, kita sama-sama berdoa agar calon kita bersifat tawaduk (rendah diri). Kita doakan, kalau dia (Joohari) menang, dia jadi wakil rakyat untuk semua termasuk (kaum) Cina dan India,” katanya.

Hadir sama, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.

Joohari, 60, yang juga anak kelahiran Permatang Pasir itu merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan Utara.

JOOHARI ARIFFIN

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff,pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau mendapat 15,433 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×