PILIHAN Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap pada Sabtu, 6 Julai telah berlalu dengan keputusan yang membawa kemenangan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti yang lebih besar daripada pilihan raya umum sebelumnya. Calon PN, Abidin Ismail mendapat 14,489 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat sebanyak 10,222 undi. Undi majoriti yang diperolehi oleh calon PN adalah sebanyak 4,267 undi. Undi majoriti ini adalah lebih besar daripada yang diperoleh calon PN sebelum ini (Allahyarham Nor Zamri) iaitu hanya sebanyak 1,563 undi.
Apakah yang dapat kita tafsirkan daripada kemenangan calon PN yang lebih besar ini? Adakah ia mempunyai kaitan dengan dasar-dasar atau tindakan kerajaan perpaduan di peringkat nasional? Apakah yang perlu dilakukan dan dihayati oleh kedua-dua belah pihak, PH dan PN bagi kepentingan masa depan parti masing-masing?
Apakah yang dapat kita tafsirkan daripada kemenangan calon PN yang lebih besar ini? Secara kasarnya kita dapat katakan bahawa para pengundi telah memberikan sokongan yang lebih besar kepada calon PN.
Ini mungkin dapat dikaitkan sebagai protes tidak langsung kepada kerajaan PH. Walaupun PRK ini tidak membawa apa-apa makna dan kesan langsung sama ada kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atau kerajaan persekutuan, tetapi secara tidak langsung ia membawa maksud tersirat pandangan dan pendirian rakyat terhadap kerajaan perpaduan yang menguasai Pulau Pinang dan kerajaan persekutuan. Kalau calon PH menang, yang mungkin ditafsirkan oleh pimpinan negeri dan persekutuan adalah rakyat berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh pimpinan sekarang. Ini adalah mesej jelas yang ingin disampaikan oleh pengundi Sungai Bakap kepada kerajaan.
Tindakan kerajaan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan langsung jangka pendek dan kesan polisi kerajaan kepada kesan jangka panjang.
Kesan langsung jangka pendek
Kesan ini dirasakan oleh semua penduduk, khususnya golongan biasa yang mempunyai pendapatan kecil dan sederhana bawah. Kenaikan harga diesel secara mendadak dikatakan mempunyai kesan secara langsung kepada keputusan pengundi Sungai Bakap. Pengundi Sungai Bakap seolah-olah mewakili rakyat secara keseluruhannya bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kenaikan harga diesel. Walaupun pihak kerajaan menyatakan kenaikan harga diesel ini secara tersasar demi kebaikan ekonomi negara dan tidak memberi kesan buruk kepada ekonomi makro dan harga pengguna, tetapi dalam realiti yang berlaku disebaliknya. Harga pasir, batu dan bahan-bahan binaan telah berlaku kenaikan. Keberkesanan kawalan harga tidak berlaku dengan benar-benar berkesan.
Harga barangan keperluan masih tinggi dan tidak berlaku penurunan menyeluruh sejak kerajaan perpaduan menguasai kerajaan pusat. Menteri Ekonomi dan Kementerian Kewangan tidak berjaya melakukan suatu perubahan yang benar-benar berkesan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat umum. Kita tidak menafikan pihak kerajaan mempunyai hujah dan masalah tertentu dalam menyusun ekonomi dan harga barangan pengguna. Semua urusan ini bukanlah satu urusan yang mudah. Rakyat umum tidak melihat ini, tetapi yang dilihat adalah apa yang dikatakan oleh pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli ketika berkempen Satu perubahan besar akan dilakukan jika berkuasa. Rakyat mungkin boleh menerima jika harga minyak tidak turun, tetapi kenaikan diesel secara mendadak sukar untuk diterima rakyat umum. Ada ura-ura dan kemungkinan akan berlaku kenaikan petrol RON 95 menimbulkan keresahan rakyat umum (yang penggunaannya lebih meluas berbanding dengan minyak diesel). Dengan menolak calon PH dalam PRK DUN Sungai Bakap akan mempengaruhi tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak petrol RON 95. Kerajaan akan berfikir dua kali. Kenaikan harga minyak RON 95 akan memberikan risiko kepada PRK akan datang.
Kesan polisi kerajaan jangka panjang
Kesan ini mungkin tidak begitu terasa oleh golongan rakyat bawahan yang hidup dalam keadaan susah dan relatifnya hidup susah serta kecil pendapatannya. Ini akan lebih difahami oleh mereka yang mempunyai fahaman dan falsafah politik yang lebih tinggi darjah analisisnya. Kerajaan perpaduan ini mula melakukan beberapa perubahan yang berbeza daripada sebelumnya yang kesan jangka panjangnya mungkin besar. Isu-isu seperti perjawatan awam, skim pencen, pengurusan tabung haji dan kos haji, pengurusan dan penyusunan kawasan Parlimen bandar besar, pilihan raya kerajaan tempatan, kuota matrikulasi dan pengajian tinggi, biasiswa bumiputera dan seumpamanya mempunyai hubungan dengan masa depan orang-orang Melayu.
Apakah yang perlu dilakukan dan dihayati oleh kedua-dua belah pihak, PH dan PN bagi kepentingan masa depan parti masing-masing? Kedua-dua belah pihak perlu meneliti dengan mendalam tentang keputusan PRK DUN Sungai Bakap ini.
Bukan sekali-kali mencari siapa salah dan siapa benar, tetapi demi kebaikan, kestabilan dan masa depan negara. PH perlu membedah dengan ikhlas dan terbuka, segala dasar, falsafah politik semua parti komponennya agar lebih selaras dengan falsafah dan perlembagaan. Ia perlu melihat realiti komponen penduduk negara serta asas agama dan bangsa.
PN dan parti komponennya juga perlu melihat dengan lebih luas, sifat dan realiti penduduk negara dan tidak kepada wilayah atau negeri tertentu. Kepentingan umum perlu lebih utama daripada kepentingan berpihak, kepentingan jangka pendek perlu diketepikan, utamakan kepentingan negara jangka panjang.
Ingatlah negara ini adalah warisan bangsa pejuang silam: Bertonggakkan perlembagaan yang meletakkan Islam dan Melayu atas tonggak asas bina bangsa, agama bermaruah: Melayu dan Islam perlu sentiasa dijunjung dan disanjung! – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah pensyarah dari Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.










