PETALING JAYA: Salah faham antara pelakon, Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora akhirnya terlerai selepas kedua-duanya saling memohon maaf secara terbuka menerusi platform Threads.
Difahamkan, salah faham tersebut timbul selepas Izara meluahkan rasa kurang senang terhadap cara layanan pasukan Lesti yang bersikap sombong terhadapnya ketika bertemu di Konsert Tradisional Gema Bumantara, baru-baru ini.
Kata Izara, dia hanya menerima layanan yang baik daripada pasukan penyanyi Indonesia itu selepas mereka mengetahui bahawa dia merupakan menantu kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menerusi sebuah hantaran di Threads, Izara bagaimanapun telah memuat turun semula perkongsian berbaur luaham tersebut dan tampil memohon maaf secara terbuka kepada Lesti.
“Mengapa saya padam kenyataan peribadi saya tentang pasukan Lesti? Kerana sudah terlalu banyak yang salah faham dan terkait dengan pihak-pihak yang tidak berkaitan.
“Tegur adab orang tetapi lupa adab sendiri apabila menaip di media sosial. Terus terlupa juga adab itu bukan sahaja dari perbuatan bila berdepan dengan seseorang tetapi juga adab di media sosial.
“Dengan itu, Lesti, saya mohon maaf atas adab saya yang tidak sempurna menegur secara terbuka sehingga mungkin mencetuskan kesedihan atau lebih teruk, mengganggu mentalmu, Lesti.
“Sedar ini adalah dosa dari saya terhadap kamu kerana saya teringat ‘Sesungguhnya bila menegur seseorang itu sampai ada sedikit rasa tersinggung adalah lebih besar dari kesalahan yang orang ditegur itu lakukan.’ Harap satu hari kamu akan memaafkan, insya-Allah,” katanya dalam Threads.
Susulan itu, Lesti yang merupakan penyanyi jemputan pada konsert berkenaan turut tampil menjernihkan salah faham yang kononnya pasukannya bersikap sombong terhadap Izara itu merupakan kenalan rapatnya yang dibawa ke konsert untuk memberi sokongan.
Kata Lesti, kejadian tersebut berlaku ketika salah seorang rakannya ditegur oleh pengawal keselamatan Izara dengan kasar ketika hendak bergambar bersama Siti Nurhaliza.
“Pertama sekali saya ingin berterima kasih atas ketulusan dan kebaikan Kakak Izara, yang sudah memperhatikan anak saya dengan begitu baik selama konsert berlangsung.
“Saya ingin perbetulkan sedikit kerana saya tidak ada di tempat kejadian. Sejauh yang saya difahamkan, dan saya dengar kejadian yang dimaksud bukan melibatkan pasukan saya, melainkan salah satu kenalan yang saya undang untuk hadir dan ikut memberikan sokongan saat saya mendapat kesempatan menjadi penyanyi di konsert tersebut.
“Ketika itu, anak saya didukung oleh kenalan saya ketika hendak berfoto bersama Datuk Siti. Ketika hendak masuk ada larangan dari salah satu petugas pengamanan yang disampaikan dengan nada cukup keras kepada anak saya untuk tidak menyentuh Kakak Izara (kerana mungkin tidak tahu).
“Dan kenalan saya terkejut dengan kata-kata tersebut. Saya secara peribadi ingin memohon maaf apabila kejadian tersebut membuat kurang senang. Sungguh, tidak pernah ada niat dari saya maupun orang-orang yang hadir menyokong saya bersikap tidak sopan atau tidak menghargai siapa pun,” jelasnya.
Menerusi hantaran sama, Lesti turut berlapang dada menerima permohonan maaf dan teguran dari Izara, selain berharap insiden tersebut tidak menjejaskan hubungan baik mereka di masa hadapan.











