KANGAR: Pakatan Harapan (PH) akan bekerja lebih keras khususnya dalam menangani beberapa isu termasuk komunikasi susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, parti itu juga menerima suara rakyat yang telah diterjemahkan menerusi peti undi dengan tawaduk susulan kekalahan berkenaan.
Katanya, semua pihak termasuk jentera parti telah mengambil tanggungjawab masing-masing dengan bekerja keras dalam memastikan kemenangan calon PH, Dr. Joohari Ariffin.
“Tapi itulah yang terjadi keputusannya dan kita harap selepas ini akan bekerja lebih keras untuk memastikan isu-isu dan kebajikan rakyat dapat ditangani sebaiknya termasuk komunikasi serta kerjasama lebih erat,” katanya di sini, hari ini.
Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) mempertahan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi.
Bekas eksekutif logistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya, Joohari yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
Utusan Malaysia sebelum ini turut melaporkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, PH akan memperbaiki kelemahan khususnya dalam aspek komunikasi melibatkan dasar-dasar dilaksanakan kerajaan supaya dapat diterima baik oleh rakyat.
Kata Adam Adli, dasar-dasar tidak popular dilaksanakan kerajaan secara tidak langsung menyukarkan PH menambat hati pengundi dalam PRK Sungai Bakap walaupun matlamatnya baik.
Selain itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya turut menyuarakan pandangan sama di mana kegagalan menguruskan isu dan komunikasi tidak mantap berhubung pelaksanaan sesuatu dasar oleh kerajaan antara faktor penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan dalam PRK berkenaan.-UTUSAN










