KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap telah diketahui. Jika dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Pulau Pinang Ke-15 pada 12 Ogos 2023, calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, memperolehi 13,870 undi, dalam PRK ini pula undi calon PH, Dr. Joohari Ariffin, menurun menjadi 10,222.
Sementara undi calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRN, Nor Zamri Mohd Nor, ialah 15,433 undi calon PN dalam PRK, Abidin Ismail, pula menurun menjadi 14,489. Penurunan undi ini selaras dengan penurunan peratusan keluar mengundi menjadi hanya 63.45 peratus.
Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, segera menyatakan PH menghormati dan menerima dengan penuh tawaduk kekalahan calonnya.
Ujar beliau, kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara.
Ini adalah satu sikap yang terpuji untuk menjadikannya sebagai petunjuk supaya kerajaan Madani memperhebat usaha membela nasib rakyat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula menyatakan kemenangan calonnya isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) yang menyusah dan merimaskan rakyat termasuk penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan harga barang dan menambah beban rakyat serta kedegilan kerajaan meneruskan penjualan saham MAHB (Malaysia Airport Holdings Bhd) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) walaupun ditentang hebat oleh rakyat.
Benarkah kemenangan calon PN ini isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan PH-BN atau hanya sekadar penolakan pengundi Sungai Bakap kepada pendekatan politik semasa PH-BN, khasnya dalam PRK ini?
Sejak PRK diumum akan dilangsungkan pemimpin yang paling berperanan besar dan mendapat liputan meluas media massa ialah Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden PKR merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya Kerajaan Perpaduan bersama-sama Senator Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang bagaimanapun lebih mengambil pendekatan bergerak dari belakang tabir. Berbagai-bagai kesilapan telah dilakukan oleh Rafizi menjelang dan semasa tempoh kempen PRK ini berlangsung.
Semua ini telah dipergunakan oleh PN untuk memaparkan wajah kerajaan PH-BN sebagai kerajaan yang bongkak, angkuh dan suka berseteru dengan rakyat walaupun berkali-kali Dr. Joohari menekankan kempen PH-BN akan dibuat secara murni dan berakhlak sesuai dengan iltizam PADU yang beliau perkenalkan memfokus kepada P (prasarana), A (akhlak), D (damai) dan U (untuk semua).
Sejak Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap pada 10 Jun lagi, Rafizi telah mencetuskan kekecohan dengan memperlekehkan serta mencabar seorang aktivis UMNO, yang mempersoalkan mengapa tiada penurunan harga petrol seperti dijanjikan ketika Rafizi sedang berucap, naik ke pentas.
Insiden ini dikatakan mencetuskan ketegangan antara penyokong PH dengan penyokong BN sehingga waktu menjelang pengundian ahli UMNO ini mengeluarkan video terbuka memperkenalkan dirinya sebagai ahli UMNO cawangan Sri Aman dalam Bahagian Batu Kawan menyatakan beliau menyokong penuh calon PN dan menyeru sahabatnya dalam UMNO supaya mengundi calon PN bagi memastikan UMNO akan dapat bertanding semula di kerusi itu, beserta pantun berbunyi “jika tak mahu kita dibohong, jangan undi PH”.
Dalam wawancara bersama Bloomberg bersempena Forum Ekonomi Dunia di Dalian, China, Rafizi juga kedengaran tertawa apabila ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan berkata “Kami akan mengumumkannya seperti mana kami buat kejutan mengenai diesel.
Selepas kejutan mengenai diesel, orang ramai boleh bersiap sedia untuk satu lagi kejutan. Kenyataan ini menimbulkan keributan sehingga Perdana Menteri terpaksa membuat penjelasan bahawa kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai keperluan merasionalisasikan subsidi petrol RON95.
Sewaktu berkempen di Sungai Bakap juga, Rafizi amat banyak menggunakan pendekatan menyerang pihak lawan.
Antara yang ditimbulkan ialah cabaran beliau supaya PN membentangkan prestasi ADUN-nya di Sungai Bakap yang didakwa tidak memperjuangkan isu setempat penduduk dalam DUN.
Cabaran ini disahut oleh jentera PN yang mendakwa selama tiga penggal PH menjadi ADUN, masalah air tidak pernah dibangkitkan oleh ADUN PH tetapi ADUN PN membawa isu-isu seperti pemilikan rumah di Taman Halaman Indah, banjir kilat dan masalah air di Mukim 5 Seberang Jaya Selatan dalam sidang DUN.
Rafizi juga menyalahkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kerana tidak berbuat apa-apa bagi menyelesaikan masalah air di Sungai Bakap ketika beliau menjawat tugas Menteri Air dan Alam Sekitar.
Dakwaan ini juga dijawab oleh jentera PN yang menyatakan isu pengagihan dan bekalan air kepada rakyat di Sungai Bakap adalah di bawah tanggungjawab negeri, khasnya Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Permohonan maaf Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kepada penduduk Sungai Bakap yang berdepan kesulitan ekoran masalah air juga dipergunakan sepenuhnya oleh jentera PN untuk membidas kembali Rafizi.
Rafizi juga membuat provokasi dengan mendakwa kajian yang dijalankan pihaknya mendapati hanya 48 peratus daripada orang Melayu di Sungai Bakap masih menyokong PN berbanding 77 peratus dalam PRN selain mendakwa dua Unit Daerah Mengundi (UDM) PN di Sungai Bakap, iaitu UDM Sungai Duri dan UDM Sungai Bakap, terpaksa ditutup.
Dakwaan UDM ditutup ini dinafikan oleh jentera PN dengan menyatakan ia hanya ditutup ketika waktu solat. Lebih pedih bila pada akhirnya dua UDM ini dimenangi oleh calon PN.
Beliau juga meremehkan kempen PN dengan menyifatkan segala mesej yang cuba disampaikan PN caca-merba kerana terlalu memfokuskan kepada isu-isu nasional yang tidak begitu relevan kepada pengundi-pengundi di Sungai Bakap.
Paling tular ialah video ucapan kempen Rafizi berbunyi, “Dia duk tanya, “kamu Raja Formula, mana formula kamu? Memang bahlol, formula tengah berjalanlah, bodoh.”
Video ini diguna untuk memaparkan imej negatif kerajaan PH-BN sebagai kasar, bongkak dan tidak boleh menerima teguran.
Semua ini menyebabkan sebuah portal membuat jangkaan tepat dengan menyatakan sehari sebelum PRK bahawa “Faktor Rafizi, kenaikan diesel dan isu BlackRock menjadikan peluang PH menang pada PRK Sungai Bakap esok sesuatu yang mustahil”.
Iktibar dari PRK ini ialah, walaupun mempunyai calon kuat yang berpendidikan tinggi, PH-BN perlu memaparkan imej yang lebih positif dengan mengakomodasi permintaan rakyat serta memberi penjelasan secara berhemah kepada rakyat mengenai dasar dan keputusan kerajaan.
Dasar dan keputusan kerajaan yang betul memerlukan penjelasan yang betul untuk diterima.
Dalam konteks ini, kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, ketika mengulas keputusan PRK Sungai Bakap ini bahawa “Pemimpin jangan sombong dengan rakyat”, wajar sekali direnungi. – UTUSAN
DR. Nik Mawardi Mohamed ialah penganalisis sosiopolitik tempatan.










