Pekebun kecil mahu bantuan tanam semula sawit ditanggung 100 peratus

Pekebun kecil mahu bantuan tanam semula sawit ditanggung 100 peratus

PEKEBUN kecil memberi saranan kepada kerajaan agar memberikan bantuan penuh sehingga 100 peratus kepada pekebun kecil sawit menerusi Skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran memberikan bantuan penuh sehingga 100 peratus kepada pekebun kecil sawit menerusi Skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) bagi mengurangkan beban modal yang perlu ditanggung mereka.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, pihaknya menyambut baik penerusan skim itu menerusi Belanjawan 2027, namun berharap kadar bantuan dapat ditingkatkan dan kaedah penyalurannya dipermudah.

Menurutnya, kos menebang pokok lama, menyediakan kawasan tanaman, mendapatkan anak benih serta membeli input pertanian memerlukan modal besar yang sukar disediakan oleh sebahagian pekebun kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pekebun kecil berharap kadar bantuan dapat dipertimbangkan sehingga 100 peratus dan diberikan awal, bukan melalui kaedah pay and claim.

“Ini kerana pekebun kecil bukan sahaja berdepan kos penanaman semula yang tinggi, malah perlu menanggung tempoh tanpa pendapatan sementara menunggu pokok sawit baharu matang dan mengeluarkan hasil,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pekebun kecil yang mempunyai simpanan terhad berisiko menangguhkan kerja penanaman semula atau membiarkan kebun tidak produktif sekiranya perlu menyediakan sebahagian besar modal sendiri.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat berkata, kemudahan pembiayaan mudah bernilai RM200 juta disediakan kepada pekebun kecil bagi membiayai kos penanaman semula kelapa sawit dengan keluasan kawasan sehingga 40 hektar.

Tambah Anwar, pembayaran balik ditangguh selama empat tahun sementara menunggu pokok sawit berbuah.

Dalam pada itu, Adzmi turut menggesa kerajaan mengkaji semula syarat minimum pemilikan tanah seluas 0.5 hektar bagi melayakkan pekebun kecil menerima bantuan sektor agrikomoditi.

Katanya, syarat tersebut perlu mengambil kira pekebun yang memiliki tanah kurang daripada 0.5 hektar tetapi masih mengusahakan kebun secara aktif dan produktif.

“Keluasan tanah semata-mata tidak seharusnya menjadi penentu mutlak kelayakan seseorang pekebun kecil menerima bantuan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, PKPKM mencadangkan supaya kelayakan bantuan turut mengambil kira status pengusahaan kebun, produktiviti, pendapatan, kos pengeluaran serta tahap keperluan pekebun kecil.

Mengulas mengenai sektor getah, Adzmi menyambut baik pengumuman kenaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.30 sekilogram yang disifatkan mampu membantu menampung sebahagian kos pengeluaran dan menyokong pendapatan pekebun kecil.

Beliau berkata, insentif itu penting bagi memastikan aktiviti penorehan terus berdaya maju ketika pekebun kecil berdepan ketidaktentuan harga pasaran dan peningkatan kos input pertanian.

“PKPKM berharap cadangan Harvester on Wheel bukan sekadar dipertimbangkan, tetapi dapat diterjemahkan kepada satu inisiatif strategik kerajaan untuk menghidupkan semula kebun getah pekebun kecil yang terbiar.

“Kita perlu mewujudkan peluang kepada anak muda tempatan untuk menjadikan aktiviti penorehan sebagai satu kerjaya dan sumber pendapatan yang berdaya maju,” katanya.

Sementara itu, PKPKM memohon penjelasan kerajaan mengenai status Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi pekebun kecil getah susulan ketiadaan pengumuman berkaitan bantuan tersebut dalam Belanjawan 2027.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini