216 tahanan imigresen dihantar pulang ke Indonesia

216 tahanan imigresen dihantar pulang ke Indonesia

WARGA emas antara 216 warga Indonesia dari pusat tahanan imigresen Malaysia yang dihantar pulang ke tanah air semalam.-ANTARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Luar Negeri Indonesia menghantar pulang 216 rakyatnya yang ditahan di tujuh pusat imigresen di Malaysia, semalam.

Kesemua mereka dihantar pulang menaiki penerbangan komersial ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Cengkareng, Banten dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Medan, Sumatera Utara.

“Warganegara Indonesia yang dihantar pulang terdiri daripada ibu dan anak mereka, wanita mengandung, warga emas, mereka yang sakit dan rakyat Indonesia yang dipenjarakan lebih enam bulan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Kira-kira 129 warga Indonesia pulang ke Jakarta dalam tiga kumpulan penerbangan berasingan, manakala 87 lagi dihantar ke Medan dengan dua kumpulan penerbangan.

Kementerian turut memaklumkan 19 warga Indonesia yang dihantar pulang adalah di bawah umur, manakala 14 mengalami penyakit yang memerlukan perkhidmatan pesakit luar dan lapan lagi berusia lebih 60 tahun.

Beberapa warga Indonesia yang dihantar pulang memberitahu menghargai bantuan kerajaan yang membolehkan mereka kembali ke tanah air buat kali pertama selepas berada di Malaysia selama beberapa dekad.

“Mereka sangat berterima kasih atas bantuan kerajaan yang membolehkan mereka bertemu semula dengan keluarga dan saudara selepas berdekad-dekad,” menurut kementerian.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono, yang terlibat menghantar pulang warga Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, inisiatif ini dibuat berikutan hubungan kukuh dua hala antara kedua-dua negara.

Bagi mengelakkan terlibat penangkapan pihak imigresen Malaysia, beliau mengingatkan warganya untuk mengikuti proses migrasi yang selamat dan teratur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×