TELEFON bimbit di meja berdering. Saya capai dan lihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Abang Zul rupanya. Lantas saya angkat dan tekapkan di telinga.
“Assalamualaikum Nuek,” kedengaran suara di hujung talian. “Waalaikumsalam bang,” jawab saya tenang.
Dalam hati tertanya juga kerana jarang benar bekas Pengarang Majalah Mastika, Zulkarnain Zakaria ini menelefon saya di waktu malam. Biasanya, kalau hendak dengar dia berceloteh atau bertanya sesuatu pasti di waktu siang.
“Eh, betul ke Pyanhabib meninggal? Tanyanya dengan nada cemas. Saya terdiam kelu tanpa jawapan.
“Aku terbaca dekat FB, isteri dia tulis,” sambungnya lagi. “Biar saya check kejap bang. Serius saya tak dengar apa-apa info pun, nanti apa-apa saya contact abang semula,” jawab saya sebelum menamatkan panggilan.
Tanpa berlengah saya meneliti setiap inci berita di Facebook. Iya, memang benar. abang Pyanhabib sudah tiada. Sudah ramai rakan dan kenalannya menitipkan doa dan ucapan takziah kepada keluarganya. Sekali lagi saya tergamam. Jantung berdegup laju seperti tidak percaya dengan berita tersebut.
Serta merta ingatan terus terimbau dengan sosok yang baru meninggal dunia ini. Walaupun saya bukanlah seorang sasterawan mahupun anak seni yang sama-sama berjuang memartabatkan karya dan bahasa sepertinya, namun kami ada sisi lain yang boleh diceritakan dan dikenangkan.

Keakraban kami mungkin tidak diketahui ramai kecuali beberapa kerat individu yang rapat sahaja. Jika tidak bersua muka, Facebook adalah medium tempat kami bercerita.
Biasanya watak tersebut adalah saya, arwah dan bekas pengarang Mastika, Zulkarnain Zakaria yang lebih mesra dipanggil abang Zul.

Kebiasaannya setiap kali arwah berkongsi gambar-gambar terbaharu atau aktivitinya di media sosial, abang Zul akan komen dengan pelbagai kapsyen gurauan dan sindiran.
“Kau tengok tu Nuek, macam dia seorang saja ada kasut baru! Itu pun nak tayang! Pirahhhh,” tulis Abang Zul sambil tag nama saya tatkala melihat foto arwah bergambar dengan kasut Fung Keong baharunya.
Saya pun apa lagi teruslah panaskan keadaan. Memang kami ‘bahan’ arwah tanpa belas kasihan. Tapi arwah pun tidak mahu kalah, dia memang tak beri peluang pada kami, terus dia balas dengan ayat-ayat sinonimnya,
“Ahh, korang apa tau! Inilah perangai budak budak Mastika, kasut pun nak dijadikan misteri,” tulisnya.
Kadangkala setiap komen itu berlarutan panjang lebar. Samalah juga dengan nasib abang Zul, kalau dia kongsikan foto bersama isteri pasti mengundang masalah dan dijadikan ‘bahan’ oleh arwah.
“Kau tengok tu Nuek, bergambar dengan isteri. Macamlah dia seorang ada isteri. Yang benarnya takut isteri,” komen arwah sambil tag nama saya.
Seperti biasa kali ini saya pula akan jadi ‘lalang’ dan menyokong arwah. Begitulah akrabnya kami. Jika dahulu sebelum pejabat Utusan Karya di Bangi tutup, arwah seringkali datang melawat kami bersama isterinya.
Jiwa arwah memang cukup dekat dengan majalah Mastika kerana dahulu arwah pernah menjadi wartawan di situ sebelum berpindah ke Ibu Pejabat di Jalan Chan Sow Lin.
Walaupun arwah seorang yang senang didekati namun bukan mudah juga untuk ‘bergurau lebih’ dengannya.
Saya juga tidak terkecuali. Pada awal dahulu setiap kali saya komen di media sosialnya dia hanya balas dengan tanda like tanpa respon. Rupa rupanya tanpa saya ketahui dia bertanyakan dengan Abang Zul perihal diri saya.
“Nuek Haiqal ini siapa Zul?” Tulisnya kepada Zul melalui WhatsApp.
“Nuek pun kau tak kenal? Dulu kan dia pernah di majalah Kawan, Mangga, Mastika, takkan kau tak kenal,” balas Abang Zul panjang lebar.
Bila saya dapat tahu cerita ini geram juga rasanya. Boleh pula dia tidak kenal saya sedangkan kalau datang di pejabat Utusan itu sayalah yang sering sambut dan bawanya ke meja rakan-rakan lain.
Tetapi lama kelamaan barulah saya dapat cerita sebenarnya. Dia tidak tahu nama dalam FB itu.
Ketika Utusan Malaysia dijenamakan semula pada 2020, Saya bertugas sebagai wartawan di Mingguan Malaysia.

Ketika itulah Pengarang Berita, Mingguan Malaysia, Fauziah Arof memberi tugasan kepada seorang wartawan baharu, Fahmi Faiz supaya menemu bual arwah untuk dimuatkan dalam kolum Sastera.
“Nuek, baik kau temankan si Fahmi ini interview Pyanhabib. Kau tahulah Pyan ini macam mana. Kalau orang yang dia tak kenal dan mesra memang tak dapat story nanti, sudahnya balik bawa habuk,” kata kak Fauziah kepada saya ketika itu.
Memang betul. Sebaik nampak kelibat saya barulah arwah nampak ceria. Panjang lebar dia bercerita, sampaikan berjam-jam kami berbual.
“Banyak sangat abang sembang ini. Kolum ini satu page saja bang, bukannya 10 muka,” kata saya berjenaka. Dia hanya ketawa berdekah.
OSMAN TIKUS IS BACK
SELEPAS itu, bila sudah siap buat ceritanya terus dia hubungi saya untuk membaca kalau ada kesilapan maklumat sebelum disiarkan.
Dan sekali lagi dia betulkan. Habis semua dirombaknya. Menyirap darah Kak Fauziah apabila artikel itu dirombak di minit akhir.
“Aku bab ini yang tak larat dengan si Pyan ni, kalau dia edit habis semua ditukarnya,” kata kak Fauziah membebel kepada kami.
Pada 13 Mei lalu, arwah hubungi saya melalui teks WhatsApp, bertanya jika saya tahu di mana ada tempat mesin printing lama untuk dia buat short shooting sempena teaser konsert M. Nasir akan datang.
“Abang nak mesin printing lama old school antik yang berlemuih minyak,” tulisnya kepada saya.
Terus saya bagi cadangan supaya dia pergi ke kedai printing di Jalan Brunei di Pudu.
Di situ banyak kedai printing kecil yang menggunakan mesin lama. Akhirnya video tersebut berjaya disiapkan. Memang lengkap dan menarik sehingga berjaya memukau penonton ketika sesi sidang media tersebut.
“Perghhh… Osman Tikus is back,” kata hadirin bersorak sambil mengimbau kembali saat kegemilangannya bersama M.Nasir dalam filem Kembara Seniman Jalanan yang mengangkat nama berserta watak Osman Tikus yang dipegangnya.
Alhamdulillah. Walau tidak mengambil bahagian dalam pembikinan video itu tetapi saya berbangga dapat membantu dan memudahkan urusannya.
Pada 24 Mei berikutnya, sekali lagi dia menghubungi saya bertanyakan sama ada saya pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di WTC.

Seperti biasa dia memberi idea mencadangkan saya ke sana untuk mengintai kalau-kalau ada artis tanah air yang singgah ke situ.
Selain itu, dia juga syorkan agar pergi mengintai Nasir Jani yang menjual buku di booth tingkat empat di samping mengingatkan saya tentang kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang akan membaca sajak di pentas utama pada 1 Jun berikutnya.
Sebelum menutup perbualan sempat saya bertanya adakah dia akan pergi ke pesta buku itu?
“Tak tahu lagi. Segan pula nak pergi kerana buku baru tak terbit lagi. Kalau pergi pun sekadar tengok-tengok rakan berjualan saja,” katanya kepada saya.
Itulah perbualan akhir saya dan arwah. Semoga Allah S.W.T mengampuni segala dosa dan menempatkan abang Pyan bersama orang yang beriman. Saya menjadi saksi kebaikan abang selama ini. Al-Fatihah.
INSAN ISTIMEWA
SAYA faham kenapa pengarah dan penulis, Nasir Jani gagal menahan sebak ketika mengenang Allahyarham Pyanhabib. Mereka bukan baru dua tiga tahun bersahabat. Tetapi sudah saling kenal sejak 1976, tidak lama selepas Nasir menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara.

Malah sepanjang berkawan, Nasir dan arwah saling tidak melupakan. Perjuangan mereka dalam dunia filem dan penulisan berjalan seiring.
Nasir juga antara orang yang nampak dan menghargai bakat serta kelebihan arwah, sekali gus menonjolkannya menerusi filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87. Pada mata seorang Nasir, Pyanhabib ini seniman yang tiada galang gantinya.
“Dia insan istimewa. Walaupun tidak mendengar, kelakuan dan tindakannya tiada beza dengan kita yang dilahirkan normal. Kita rasa malu tatkala melihat kesungguhan dan ketabahannya.
“Saya bertuah kerana bersahabat dengan arwah. Hatinya baik dan tiada yang buruk orang cerita tentangnya,” kongsinya.
Ada benarnya apabila Nasir menyifatkan arwah ini sebagai insan yang tabah dan cekal. Perkongsian Nasir itu mengingatkan saya tentang kesukaran hidup yang dilalui arwah ketika hayatnya.
Mungkin ramai tidak tahu pada 1976, Pyanhabib pernah bekerja cuci pinggan di Restoran Minang yang terletak dekat Jalan Alang Chow Kit, Kampung Baru.
Arwah juga mencari sumber pendapatan dengan melakukan kerja yang sama di sebuah kedai makan berhampiran Medan Bonus, selain pada sebelah, malamnya mengikuti pembelajaran di Institut Ibnu Sina, Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru.
Kecintaan arwah kepada dunia penulisan dicurahkan apabila dia menyertai Utusan Melayu selaku pengarang majalah Mastika selama 10 tahun dan kemudian menjadi penyunting di Mingguan Malaysia sebelum menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2000.
Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, Pyanhabib menjayakan lapan filem, dua drama dan dua telefilem. Allahyarham juga pernah menulis lirik antaranya lagu Kekasihku yang didendangkan Ramli Sarip dan Memori yang dinyanyikan, Uji Rashid.

Sementara itu, maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir juga mengakui ketabahan Allahyarham sepanjang bergelar seniman.
Beliau yang lebih 38 tahun bersahabat dengan arwah mengangkat Pyanhabib sebagai insan yang wajar diteladani kerana kesungguhan dan budi pekertinya. “Kekuatannya, dia berani hidup meskipun keadaannya begitu. Tak ramai seniman sepertinya. “Di Malaysia, mungkin muncul beberapa seniman seperti Pyanhabib. Tetapi, arwah tetap satu dalam sejuta,” katanya.
Nasir baru bertemu arwah adalah sekitar bulan lepas ketika mereka menjayakan penggambaran video teaser untuk Konsert Dato’ M. N45ir Cipta yang akan berlangsung 10 Ogos ini di Axiata Arena. Detik itu juga menjadi kenangan akhir penyanyi bergelar ‘sifu’ ini bersama sahabatnya itu.
“Dia memperlihatkan karakter berbeza, tidak seperti yang saya kenal sejak 45 tahun dahulu. Nampak penat, tapi dia gagahkan diri untuk selesaikan penggambaran yang makan masa semalaman.
“Dalam babak itu, ada dialog yang perlu dia ucap, bunyinya this is the time. Berulang kali arwah cuba sempurnakan, sampai dia letih dan ubah dialog itu kepada what is the time.

“Walaupun waktu itu kami berseloroh, saya anggap dialog itu aneh. Seperti ada persoalan dan maksud yang ditinggalkan. Apa pun, arwah akan tetap dikenang sebagai seniman yang banyak berjasa,” kongsinya.











