Bapa sebak anak selamat jalani pembedahan jantung

Bapa sebak anak selamat jalani pembedahan jantung

OTHMAN Zakaria melihat keadaan anaknya Siti Nor Dayana Othman,7, selepas menjalani pembedahan jantung di Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang bapa tidak dapat menahan sebak apabila penantian selama tujuh untuk melihat anak perempuannya menjalani pembedahan jantung tercapai menerusi Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) – Healing Little Heart (HLH) pada 3 Jun lalu.

Othman Zakaria, 48, dari Kampung Raja, Besut, berkata, dia hanya mampu mengucap syukur apabila anak bongsunya, Siti Nor Dayana, 7, selamat menjalani pembedahan.

Menurutnya, Siti Nor Dayana disahkan menghidap penyakit jantung berlubang serta penyempitan saluran darah sejak lahir.

“Sebelum ini, kami sudah dimaklumkan untuk Siti Nor Dayana menjalani pembedahan pada dua tahun lalu, namun terpaksa ditunda disebabkan kesihatannya tidak mengizinkan.

“Bagaimanapun, kali ini dia dapat menjalani pembedahan dan alhamdulillah semuanya selamat dan saya berasa sangat gembira dan bersyukur,” katanya kepada pemberita di Hospital  USM, di sini hari ini.

Othman memberitahu, sebelum menjalani pembedahan, keadaan kesihatan anaknya agak merosot dan pergerakannya juga terbatas.

Katanya, masalah kesihatan anaknya itu turut menjejaskan pembelajarannya kerana sering tidak hadir ke sekolah.

“Dia tidak boleh terlalu aktif dan setiap kali ke sekolah, saya terpaksa mengambilnya lebih awal setelah dimaklumkan oleh guru keadaannya kesihatan tidak mengizinkan.

“Oleh itu, saya amat berharap, selepas ini dia dapat hadir ke sekolah seperti rakan-rakan sebayanya yang lain,” ujarnya.

Othman berkata, menerusi program ini juga, ia dapat menjimatkan kos sekali gus membantu meringankan bebannya yang bekerja sebagai pemandu van.

“Kos sebenar pembedahan jantung sekiranya dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN) adalah sebanyak RM10,000 bagi satu kes.

“Bagaimanapun, menerusi program ini kos yang perlu ditanggung sangat minimum dan setakat ini saya masih belum dimaklumkan mengenai bayarannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×