JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang diserang sekumpulan anjing liar di Batu Pahat pada 5 September lalu Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi selamat jalani pembedahan di bahagian kepala, Selasa lalu.
Ibunya, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, pembedahan yang berlangsung selama tiga jam itu bertujuan merawat kecederaan kehilangan tisu dan daging akibat gigitan anjing di bahagian kepala anaknya.
Katanya, pembedahan itu juga dibuat bagi memastikan bahagian tengkorak yang terdedah tidak dibiar tanpa perlindungan bagi mengelakkan kecederaan semakin serius.
“Doktor bimbang jika dibiarkan, bahagian tersebut boleh menjadi kering dan memberi kesan kepada tengkorak sehingga menjadi rapuh kerana ketiadaan tisu atau daging.
“Tetapi pembedahan yang telah dijalankan itu tidak membabitkan proses proses menutup sepenuhnya luka pada kepalanya. Ini baru pembedahan kecederaan pada bahagian kepala, bahagia pipi juga masih belum dibuat apa-apa pembedahan, cuma sebelum ini hanya jahitan sahaja,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Tambah Nur Wahyuni, tarikh pembedahan susulan masih belum ditetapkan termasuk prosedur penampalan kulit pada bahagian kepala serta rawatan pembedahan pada bahagian pipi.
Pada 5 September lalu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata seorang kanak-kanak perempuan cedera parah di keseluruhan badannya selepas diserang sekumpulan anjing liar.-UTUSAN










