PETALING JAYA: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy berada di landasan terbaik untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.
Ini selepas atlet kelahiran Perak itu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan ketika beraksi di Karnival Trek Tahunan Music City, Tennessee, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Beliau mencatatkan 51.79 saat (s) untuk mengatasi 51.80s di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63 pada tahun lalu dengan dia dipisahkan 0.84s untuk layak ke Paris.
Shereen perlu melakukan catatan masa sekurang-kurangnya 50.95s untuk layak secara merit ke temasya terbesar di dunia itu.
Kejayaan memecahkan rekod kebangsaan di Karnival Trek Tahunan Music City itu membolehkan Shereen merain pingat perak, manakala atlet Jamaica, Leah Anderson meraih emas dengan catatan masa 51.67s manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Na’asha Roinson apabila menamatkan perlumbaan 51.82s.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard menaruh keyakinan tinggi Shereen mampu layak ke Sukan Olimpik secara merit.
“Kalau diperhatikan perbezaan masa yang dia lakukan dengan catatan masa untuk layak secara merit adalah tidak jauh. Dia masih ada dua lagi kejohanan dan berpeluang untuk mengulanginya.
“Jika tidak berjaya, Shereen boleh layak menerusi kedudukan ranking di mana dia perlu berada dalam kelompok 48 terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shereen dijadual menyertai Terbuka Malaysia di Kuantan pada 14 hingga 16 Jun ini dan Terbuka Kazakhstan di Almaty pada 23 hingga 24 Jun ini.-UTUSAN










