KUALA LUMPUR: Model kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan antara pertimbangan Barisan Nasional (BN) sama ada ingin bergerak solo atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Bagaimanapun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, segala bentuk keputusan kerjasama itu akan diputuskan dalam mesyuarat melibatkan kepemimpinan tertinggi komponen BN.
“Sepertimana disebut Pengerusi BN (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini, kita akan meneruskan apa yang ada.
“Kita melihat bahawa segala bentuk kerjasama dalam membentuk Kerajaan Persekutuan pada hari ini, kita dapati dalam usahasama dalam kerjasama (membentuk Kerajaan Perpaduan) antara model ini (agar) dapat diteruskan jika majlis kepemimpinan ingin membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar dan pra pelancaran Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun BN ke-50, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada BN ingin bergerak solo atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, BN melakukan persiapan lebih awal untuk menghadapi PRU16 yang dijangka berlangsung pada 2027.
Katanya, kerangka beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) berlangsung sebelum ini dijadikan panduan BN untuk mendepani PRU-16.
“Tetapi untuk ke depan, kita telah melakukan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Tentunya kami telah melakukan persiapan awal kerana kerangka awal perlu dilaksanakan dan akan maklum daripada semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN











