50,000 baucer buku pelajar IPT fasa pertama diagih mulai esok

50,000 baucer buku pelajar IPT fasa pertama diagih mulai esok

Pengunjung melihat buku yang dijual di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari pembukaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengagihkan 50,000 baucer buku bagi fasa pertama dan ia boleh ditebus penuntut institut pengajian tinggi (IPT) mulai pagi esok.

Buat permulaan, agihan baucer itu disediakan bagi menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) yang berlangsung ketika ini.

Menurut KPT, penyaluran baucer akan dilaksanakan melalui kaedah e-baucar dan kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT – Graduate Reference Hub for Employment and Training (kendalian KPT).

“Kod baucer itu boleh disemak dan ditebus menerusi pautan https://great.mohe.gov.my, bermula 1 Jun 2024 (Sabtu) pukul 10.00 pagi.

“Penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara atas talian di platform BookCapital, https://bookcapital.com.my sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar sejumlah RM100 bagi satu kali transaksi,” katanya.

Katanya, baki baucar buku selebihnya akan disalurkan pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak.

Jelas KPT lagi, pemilihan BookCapital dibuat memandangkan ia di bawah kelolaan Perbadanan Kota Buku yang juga penganjur bersama PBAKL 2024 sekali gus memudahkan pengguna sepanjang berlangsungnya pesta buku ini.

“Penggunaan platform lain akan digunakan pada fasa berikutnya,” katanya.

Katanya, KPT berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca, malah turut bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan.

KPT menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian baucar buku kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) itu.

Pengumuman tersebut adalah satu langkah yang tepat dalam membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat membugar budaya membaca terutama dalam kalangan pelajar IPT.

Inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT warganegara Malaysia yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×