Tradisi Gawai Dayak semakin ditelan arus kemodenan

Tradisi Gawai Dayak semakin ditelan arus kemodenan

TARIAN Bidayuh antara salah satu aktiviti yang harus diwarisi generasi muda dalam usaha mengekalkan adat dan tradisi suku kaum Bidayuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA setiap tahun, hari ini dan esok merupakan hari bagi masyarakat Dayak terutama kaum etnik Iban dan Bidayuh menyambut perayaan Gawai Dayak.

Perkataan ‘Gawai’ bermaksud ritual atau festival, manakala Dayak adalah nama kolektif untuk kumpulan etnik asli di Sarawak dan jirannya iaitu di Kalimantan, Indonesia.

Justeru itu, Gawai Dayak bermaksud Festival Dayak.

Semasa festival ini, masyarakat Dayak akan mengadakan rumah terbuka untuk menyambut tetamu serta mengunjungi rumah teman-teman dan saudara mara.

Kunjungan seperti ini dikenali sebagai ngabang dalam bahasa Iban dan Bidayuh.

Zaman dahulu suasana sambutan perayaan ini berbeza antara satu tempat dengan satu tempat yang lain dan setiap rumah panjang atau kampung menetapkan tarikh sendiri untuk menyambut festival tersebut.

Pelbagai upacara persembahan, hidangan tradisional tempatan dan tuak (minuman keras yang diperbuat daripada beras) dihidangkan kepada tetamu.

Ia adalah perayaan yang unik dan tidak seharusnya dilepaskan oleh pelancong tempatan dan asing.

Bagi kaum Dayak yang tinggal di kawasan pedalaman, Gawai merupakan ungkapan rasa syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana memberi hasil tuaian padi yang lumayan. Sementara mereka yang di bandar melihat perayaan ini sebagai rasa syukur kepada Tuhan kerana menjalani kehidupan yang makmur sepanjang tahun.

Persiapan untuk menyambut Gawai Dayak bermula awal. Tuak disediakan lebih awal, sekurang-kurangnya sebulan sebelum perayaan.

Apabila tarikh perayaan semakin dekat, setiap orang akan sibuk membersihkan dan menyiapkan makanan dan kuih-muih. Sehari sebelum sambutan, beras pulut (lemang) dibakar di dalam buluh.

Di rumah panjang Iban, tikar baharu akan diletakkan di sepanjang ruai bagi menyambut ketibaan tetamu. Bagaimanapun bagi masyarakat Bidayuh moden hari ini Gawai Dayak dirayakan dengan mengadakan rumah terbuka. Makanan dan minuman disajikan kepada tetamu.
Perbelanjaan untuk merayakan Gawai Dayak zaman ini terlalu tinggi kerana harga barangan makanan yang naik melangit hari ini.

“Seluruh perbelanjaan boleh mencecah ribuan ringgit,” kata Andrew Reolan dari Kampung Kopit, Bau.

Malangnya, upacara ritual Gawai dalam masyarakat Bidayuh sudah pupus ditelan zaman kemodenan.

Sekarang generasi muda tidak mempunyai peluang untuk mengamati dayung boris atau dayung beris; dalam longhat Bidayuh iaitu Biatah dan tukang ranjak yang melakukan ritual Gawai.

Generasi baharu Bidayuh hari ini juga tidak berkesempatan melihat tarian Gawai rejang serta ritual yang pernah dilakukan ketua adat gawai dan tamang, suatu masa dulu.

“Tidak ada lagi upacara ritual dilakukan semasa festival Gawai Dayak sejak lebih 10 tahun lalu,” kata Sarus Jait, 82 yang pernah menjadi ketua adat Gawai di kampungnya.

Menurut Sarus, di masa lalu upacara ritual membuat festival lebih bermakna dan meriah berbanding sekarang.

“Sekarang masyarakat Bidayuh merayakan Hari Gawai hanya dengan mengadakan rumah terbuka, menjamu selera selama dua, tiga hari atau lebih tetapi mereka tidak mempunyai upacara ritual untuk mengucapkan terima kasih kepada roh padi kerana memberikan hasil tuaian padi yang lumayan.

“Bagaimanapun, zaman sekarang tidak ramai kaum Bidayuh yang menanam padi sehingga menyebabkan mereka tidak perlu menunjukkan rasa terima kasih kepada roh padi,” katanya sambil berseloroh.

TRADISI
Dia berkata lagi, di masa lampau kaum Bidayuh mengamati penuh upacara ritual Gawai dan sebab itu mereka sentiasa mempunyai bekalan beras yang mencukupi.

Ketika diminta untuk menceritakan sedikit tentang bagaimana festival itu dirayakan di masa lalu, Sarus menjelaskan upacara biasanya diadakan di beranda rumah panjang atau awah (pelantar), yang menjadi pusat ritual Gawai.

Katanya, persiapan untuk menyambut Gawai Dayak bermula seminggu lebih awal apabila penduduk kampung atau rumah panjang bergotong-royong untuk memperbaiki awah dan tanju (serambi) iaitu tempat upacara Gawai akan diadakan.

Sanggar (menara buluh) akan dibina di awah dan tanju, yang mana persembahan serta hidangan kepada roh padi akan ditempatkan.

“Pukulan gong dan gendang memeriahkan suasana festival sementara ucapara ritual biasanya melibatkan golongan yang berumur kerana dipercayai kuat semangat,” jelasnya.

Katanya lagi, tarian Gawai rejang juga dilakukan dan dayung beris akan menyanyikan lagu-lagu Gawai.

“Ayam disembelih sebagai korban. Setiap penduduk kampung termasuk tetamu harus menghormati pantang larangan yang dikuatkuasakan oleh ketua adat gawai.

“Mana-mana orang yang melanggar pantang larang boleh jatuh sakit,” ujarnya.

Upacara ritual biasanya akan memakan masa tiga atau empat hari, bahkan ada yang sehingga tujuh hari, tujuh malam.

Dalam masyarakat Bidayuh Biperoh, ritual Gawai bermula dengan memanggil roh padi untuk menyertai upacara ritual dan festival.

Mereka yang terlibat dalam ritual Gawai biasanya golongan yang sudah berumur dengan diketuai ketua gawai atau tamang.

Sarus menjelaskan, upacara ritual Gawai biasanya berlangsung selama satu jam sebelum tengah malam sebelum sambutan Gawai Dayak.

“Selama upacara ritual semangat padi akan dipanggil untuk menyertai upacara berkenaan,” kata Sarus, yang telah mencapai status tamang.

Seorang tamang adalah seseorang yang telah melalui beberapa peringkat upacara adat gawai dan orang yang berani serta tidak takut kepada hantu.

Katanya, selama upacara ritual diadakan ketua adat gawai akan membaca mentera memohon berkat roh padi untuk tuaian yang lebih baik serta meminta bimbingan sambil mengibar seekor ayam di atas ‘hidangan’ dan orang-orang yang turut serta dalam upacara itu.

Ayam berkenaan kemudiannya disembelih dan darahnya digunakan untuk upacara ritual berkenaan. Ini akan diikuti persembahan tarian rejang mengelilingi ‘sanggar’ dengan paluan gong dan gendang.-UTUSAN

Setelah upacara ritual selesai, semua yang hadir dijemput untuk berjamu selera di awah sambil berhibur.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×