Tugu peringatan ingati jasa Samy Vellu

Tugu peringatan ingati jasa Samy Vellu

S.A. Vigneswaran (kiri) dan M. Saravanan memegang simbolik arca Samy Vellu semasa pelancaran Tugu Peringatan bekas Presiden MIC itu di pekarangan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (Universiti AIMST) di Lembah Bujang, Kedah pada 24 Mei lalu. – FB UNIVERSITI AIMST
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKIRANYA mengimbas kembali sejarah negara, rakyat akan memperingati beberapa peristiwa yang menjadi kebanggaan warganegara Malaysia.

Antaranya adalah peristiwa perasmian Tugu Peringatan Negara atau Tugu Negara yang berlangsung pada 8 Februari 1966. Tugu Negara terletak di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Tugu tersebut diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 1963.

Tugu tersebut didirikan sebagai penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang gugur serta terkorban nyawa dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan semasa penguatkuasaan Darurat (1948-1960).

Selain itu, rakyat Malaysia juga mengingati peristiwa perasmian Tugu Tunku Abdul Rahman, yang juga dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan yang terletak di pintu masuk Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Tugu Tunku Abdul Rahman dibina sebagai tanda mengingati perjuangan, sumbangan dan jasa-jasa bekas Perdana Menteri itu untuk mencapai kemerdekaan bagi Tanah Melayu sekali gus meletakkan asas-asas sistem kerajaan berparlimen. Bangunan Parlimen mula dibina pada tahun 1959 dan dirasmikan pada 21 November 1963.

Sehubungan dengan ini, rakyat Malaysia terutamanya masyarakat India menyaksikan satu lagi peristiwa penting yang berlangsung di pekarangan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (Universiti AIMST), di Lembah Bujang, Kedah pada 24 Mei lalu. Peristiwa itu adalah perasmian Tugu Peringatan Pengasas Universiti AIMST, Tun S.Samy Vellu yang berketinggian 14 kaki (4.27 meter).

Beliau juga merupakan Presiden MIC ketujuh (1979-2010) merangkap menteri Kabinet Malaysia selama 27 tahun (1981-2008). Perasmian arca ini di Universiti AIMST mengingatkan kita terhadap Muzium Madame Tussauds yang terletak di Westminster, London.

Muzium tersebut adalah satu pusat pameran yang meletakkan arca pemimpin-pemimpin dunia utama dan celebriti yang dibuat daripada lilin.

Muzium tersebut dirasmikan pada 1835 oleh Marie Tussaud, seorang pengarca keturunan France. Muzium Madame Tussaud memamerkan lebih 250 arca pemimpin-pemimpin utama negara.

Pembinaan statue atau arca Samy Vellu diilhamkan oleh Presiden MIC ke-10 yang juga merangkap Canselor Universiti AIMST, Tan Sri S.A. Vigneswaran sebagai tanda mengingati jasa-jasa dan sumbangan Samy Vellu dalam pembangunan pendidikan anak-anak masyarakat India.

Ilham untuk membina Universiti AIMST tercetus apabila Samy Vellu melihat anak-anak masyarakat India, terutamanya anak-anak daripada golongan pendapatan rendah (B40) yang ingin melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi dalam bidang perubatan secara khususnya menghadapi masalah untuk menyertai universiti awam.

Samy Vellu yang percaya dan yakin terhadap kata-kata bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, yang berjaya membuktikan pada dunia bahawa anak seorang kulit hitam boleh menjadi presiden sebuah negara.

Nelson pernah berkata, pendidikan adalah senjata paling berkuasa yang boleh digunakan untuk mengubah dunia. Pendidikan adalah ‘enjin’ pembangunan peribadi yang hebat.

Kata-kata Nelson telah memekarkan cita-cita yang berkobar-kobar dalam pemikiran Samy Vellu untuk menyediakan peluang-peluang pendidikan tinggi bagi anak-anak masyarakat India.

Beliau percaya dengan perolehan pendidikan, komuniti India mampu mengubah sosioekonomi mereka. Beliau juga percaya dan yakin seorang anak pekerja estet dan pekerja awam boleh memajukan diri sebagai doktor, seorang pengurus ladang atau kilang, mahupun menjadi pemimpin politik dan menteri di Malaysia sekiranya mempunyai pendidikan.

Dengan itu, beliau menubuhkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MiED) pada 1984 untuk menawarkan pinjaman pendidikan kepada anak-anak India. Punca sumber kewangan bagi pertubuhan ini diperoleh melalui sumbangan dan derma ahli-ahli MIC dan orang ramai.

Dalam usaha mengumpul dana bagi MiED, Samy Vellu melancarkan penjualan loteri awam untuk meningkatkan dana MiED. Penjualan loteri awam tersebut berjaya mengumpul RM16 juta.

HASILKAN 1,138 DOKTOR
Seterusnya Samy Vellu mengilhamkan pembinaan Universiti AIMST yang mampu menyediakan pendidikan tinggi kepada anak -anak kaum India yang gagal mendapat tempat di universiti awam dalam jurusan perubatan dan sains.

Beliau berusaha mendapatkan dana daripada kerajaan, parti dan masyarakat umum untuk membeli tanah seluas 243 ekar di Kedah bagi mendirikan universiti tersebut. Pembinaan universiti tersebut dilaporkan menelan kos hampir RM500 juta malah merupakan satu-satunya universiti perubatan persendirian di luar India yang beroperasi di bawah pengurusan orang India.

Sejak pembukaannya pada 2002 sehingga 2024, MiED menyediakan dana pinjaman dan biasiswa mencecah RM175 juta malah Universiti AIMST berjaya menghasilkan lebih 4,000 graduan, termasuk 1,138 doktor. 717 orang daripada jumlah itu terdiri daripada kaum India. Universiti ini turut melahirkan 320 doktor gigi, 422 ahli farmasi dan 604 ahli bioteknologi.

Usaha Vigneswaran untuk membina arca Samy Vellu dalam perkarangan AIMST dengan sokongan hebat daripada kepimpinan MIC terutamanya Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan dijangka akan mendorong pengunjung pusat pendidikan tinggi yang dimiliki kaum India itu untuk bukan sahaja melihat, mengenang dan mengetahui tentang sumbangan Samy Vellu kepada pendidikan kaum India malah menghayati sejarah kepimpinan MIC dalam membangunkan komuniti India di negara ini.-UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×