PENAMPANG: Hasrat kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah akan selesai sebelum hujung Julai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan diberi untuk membasmi kemiskinan tegar dan Sabah mempunyai masalah yang lebih serius berbanding Pulau Pinang dan Selangor.
“Saya fikir sementara kemiskinan itu mengambil masa untuk diselesaikan, kemiskinan tegar ini maknanya, uniform sekolah tak mampu dibeli, makan minum, susu untuk bayi mungkin ada masalah.
“Itulah tanggungjawab kerajaan Persekutuan bersama negeri untuk menoktahkan kemiskinan. Mulanya ada sekitar 20,000 miskin tegar kemudian, kita ambil langkah-langkah segera dan sekarang tinggal 9,000 orang.
“Semalam semasa mesyuarat KPSU, saya ucap terima kasih kerana mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan negeri. Kita mahu noktahkan kemiskinan tegar di negeri Sabah sebelum akhir Julai 2024,” katanya semasa penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, hari ini.
Kata beliau, peruntukan kepada Sabah juga ditingkatkan daripada RM12.9 bilion pada 2022 kepada RM16 bilion tahun ini dan jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding 40 peratus hasil yang dituntut dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, biarpun beliau baru menjadi Perdana Menteri kerajaan Perpaduan selama satu setengah tahun tapi, beliau telah tingkatkan peruntukan untuk Sabah dengan tambahan RM4 bilion, tertinggi dalam negara.
“Ada ahli-ahli Parlimen mewakili kerajaan perpaduan tapi bercakap seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), saya tak tahu. Kadang-kadang kritik boleh tapi, apabila berucap seolah-olah kita nafikan, kita anak tirikan (Sabah).
“Peruntukan untuk Sabah besar, yang penting kita selesaikan masalah rakyat seperti elektrik, air, jalan, mutu sekolah dan orang miskin. Ini menjadi keutamaan kita dan ia tugas kerajaan Persekutuan dan negeri berpakat untuk selesaikan.
“Jangan peduli orang bising di luar, tugas kita untuk membela nasib rakyat. Dalam soal perpaduan Pesta Kaamatan ini, saya ambil kesempatan, saya memang hadir, saya tahu sebelum ini tiada Perdana Menteri hadir kerana saya rasa saya nak jadi pemimpin negara ini yang dirasakan dipercayai dan mewakili semua kaum,” katanya. – UTUSAN










