NOR Zamri Latiff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap meninggal dunia pada 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang kerana mengalami keradangan dalam perut.
Ini bermakna dalam masa terdekat ini, Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK), yang juga merupakan PRK pertama di Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.
Berdasarkan catatan pertempuran sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ‘dilahirkan’ pada 1974. DUN ini merupakan kawasan campuran di bawah kerusi Parlimen Kota Nibong Tebal.
Pada PRU12 (2008), PKR pertama kali memenangi Sungai Bakap selepas berjaya mematahkan kerusi tradisi yang selama ini dikuasai UMNO, tetapi pada 2023, mereka kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) kepada Perikatan Nasional (PN)-Pas.
Namun, sejak PRU15 pada 2022, PKR dan Pas masing-masing memperoleh kira-kira 40 peratus undi manakala Barisan Nasional (BN) meraih undi sekitar 10 hingga 15 peratus. Ini menunjukkan kawasan ini mempunyai 60 peratus pengundi Melayu dan 40 peratus pengundi bukan Melayu, sekali gus bermakna pertempuran antara PKR dan Pas mungkin hampir seimbang.
Dari segi politik parti, Sungai Bakap mempunyai nilai politik yang penting bagi Pas. Ia menjadi sebagai petunjuk gelombang hijau menakluki dan mengalahkan gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN di Pulau Pinang, serta DUN ini merupakan satu-satunya kerusi yang dimiliki PN di Nibong Tebal.
Dalam PRK yang akan datang, jika PKR gagal merebut kembali Sungai Bakap, ia akan memberikan impak yang serius kepada imej parti. Kesannya juga mungkin merosakkan keseimbangan dalam Kerajaan Perpaduan dan boleh mengakibatkan peningkatan ketegangan dalam blok pentadbiran.
Walaupun Sungai Bakap penting bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan parti itu sendiri, tetapi kita jangan terlalu berharap tinggi terhadap kebijaksanaan politik mereka. Melihat kembali prestasi PKR dalam beberapa tahun terakhir, kita dapati banyak insiden apabila parti ini sering membuat keputusan yang merugikan atau menyusahkan diri sendiri.
KESILAPAN
Waktu PRN Melaka pada 2021, Pusat PKR tidak mendengar rayuan ahli tempatan dari Machap Jaya, melepaskan penyandang ADUN, Ginnie Lim dengan menafikan usahanya di kawasan tersebut, memilih calon yang tiada pengalaman, akhirnya tewas kepada BN-MCA dengan majoriti kurang dari 1,000 undi sahaja.
Dalam tempoh kurang enam bulan, PKR tidak mengambil iktibar daripada kegagalan PRN Melaka, menjelang hari pencalonan PRN Johor pada 2022, parti tersebut bergaduh dengan rakan PH mengenai isu lambang parti dan semasa dalam proses rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), Anwar dan PKR menunjukkan sikap yang agak sombong, malah mempersoalkan tindakan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana berikan kerusi kepada Muda.
Keputusan PRN Johor ketika itu sekali lagi tidak mencapai jangkaan Anwar, apabila PKR hampir ‘mati’ di arena politik Johor.
Pada waktu PRU15, pemimpin di peringkat Pusat PKR mengumumkan senarai pencalonan berdasarkan kecenderungan berpuak. Ramai ahli yang sebelum ini dianggap tergolong ‘kartel’ dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak diberi peluang dan PKR tidak mengadakan komunikasi yang baik dengan ‘geng bukan Anwar, bukan Rafizi’. Oleh itu, menyebabkan Tian Chua, kawan rapat Anwar, terus bertanding sebagai calon Bebas menentang calon PKR di Parlimen Batu.
Dalam parti politik, perbezaan faksi (berpuak) adalah perkara biasa, tetapi ketika berhadapan dengan musuh dari luar, konsistensi pendirian antara faksi mestilah bersatu padu.Tetapi ia tidak berlaku dalam PKR, sebaliknya kepentingan dalaman faksi selalu diutamakan berbanding kemenangan parti.
PRU15 telah menyaksikan kepentingan faksi yang mengatasi kepentingan parti politik, segelintir pemimpin dalam peringkat Pusat PKR lebih memilih calon yang kurang kemampuan daripada memberi kesempatan kepada calon berkemampuan dari faksi lain. Ini menyebabkan beberapa kerusi kukuh kuat PKR hampir dirampas oleh BN dan PN. Parlimen Sungai Buloh merupakan satu contoh yang jelas.
PKR Sabah berlaku konflik dalaman dengan 25 cabang membuat permintaan menggantikan Pengerusi Sabah sedia ada, Datuk Dr. Sangkar Razam. Kejadian ini melembabkan rundingan PH Sabah dengan UMNO, Parti Warisan (Warisan) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai PRN Sabah akan datang.
Situasi yang membingungkan ialah, bagaimana pemimpin PKR Sabah mendapat keberanian dan keyakinan untuk menimbulkan pergaduhan dalaman? Mengapa mereka tidak fokus pada persediaan untuk pilihan raya?
PKR dikenali dengan kebolehan dalam bertanding di kerusi campuran dan kedudukan spektrum politiknya cenderung kepada ‘tengah’ (pelbagai bangsa), menjadikan ia pilihan politik yang paling sesuai bagi setiap etnik. Jadi, kerusi campuran seperti DUN Sungai Bakap adalah arena PKR buktikan potensi.
DUN Sungai Bakap akan menentukan nilai Perdana Menteri dan partinya. Oleh itu, tokoh-tokoh PKR harus mempertimbangkan isu ini dengan terperinci.
Sila jangan ulangi kesilapan masa lampau, pilihlah calon yang layak berusaha mendapatkan sokongan pengundi serta mampu bekerjasama secara aktif dengan PH-BN dalam menghadapi PRK Sungai Bakap ini.-UTUSAN
PENULIS ialah lulusan Ijazah Sarjana Politik dari Universiti Soochow, Taiwan dan kini Penganalisis Politik Tempatan.










