MUKADIMAH
KEUNIKAN masjid Cina Muslim yang kaya dengan budaya, keunikan seni bina dan alam semula jadi dikenal pasti sebagai salah satu tarikan pelancongan masjid yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan Islam dan sosioekonomi negara.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk melibatkan kos pembinaan yang besar, namun Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), PROFESOR DATUK DR. TAUFIQ YAP percaya pelaburan ini akan membawa kebaikan buat negara selain bermanfaat (pahala) untuk kehidupan selepas kematian.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, SYAKIR RADIN, beliau yang juga Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus berhasrat mewujudkan satu lagi masjid Cina di Jalan Davis, Kuala Lumpur dalam mengetengahkan masjid Cina sebagai hab Islam di kota raya Kuala Lumpur.
PERANAN MACMA
Keseluruhan Cina Muslim di Malaysia ialah satu peratus daripada keseluruhan Cina di negara ini. Ini bermana komuniti Cina Muslim ada dalam lebih kurang antara 80,000 hingga 90,000 orang.
Antara tujuan kita bagi memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam terutama Cina untuk memahami Islam itu sebagai agama yang universal, iaitu agama yang boleh dianuti oleh semua bangsa. Ia tidak terhad dan tidak tertakluk kepada mana-mana bangsa di dunia ini.
Antara visi MACMA yang ditubuhkan sejak 8 September 1994 untuk menjadi sebuah badan yang mewakili Cina Muslim yang berkaliber, berwibawa untuk memberi sokongan kepada masyarakat berkenaan di Malaysia dan kita juga mengutamakan kebajikan golongan ini sebab ramai yang terpisah dan dihalau oleh keluarga, sehingga tiada tempat perlindungan.
Kita cuba apa yang termampu, untuk lakukan secara keseluruhan tidak mampu, jadi kita bekerjasama dengan jabatan agama, majlis-majlis agama supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka.
GALAKAN FAHAMI ISLAM
Kita memberi penerangan, mengajak mereka faham tentang Islam sebab hak untuk anuti mana-mana agama adalah hak masing-masing. Kita tidak boleh paksa tetapi boleh bagi penjelasan, supaya ramai memahami. Sebab itu dalam apa jua penganjuran program atau bengkel bengkel pemahaman Islam, kita buka kepada bukan Islam dan alhamdulillah ada yang (bukan Islam) sertai sebab ingin memahami Islam.
Kemudian dalam bulan puasa kita mengajak masyarakat bukan Islam untuk sama-sama berbuka puasa dan kita buat program supaya mereka boleh pergi ke masjid. Kita mahu mereka datang ke masjid dengan lebih bebas dan kita tunjuk apa peranan masjid, bagaimana orang Islam sembahyang, apa itu al-Quran supaya mereka faham Islam secara mendalam. Kita tak mahu mereka percaya persepsi seperti selama ini.
Sehingga kini ada beberapa persepsi tentang Islam lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang ahli keluarganya memeluk Islam. Kerana itu, negara ini membenarkan mereka untuk kekal menggunakan nama asal. Cuma kita minta mereka menukar status agama di kad pengenalan supaya tidak timbul keraguan.
Pernah ada isu perebutan jenazah tetapi kita terangkan dan buktikan mereka sudah menganut Islam dan mayat ini harus diuruskan secara Islam. Selepas mengambil masa untuk berbincang, keluarga menerima dengan baik dan kita ajak mereka melihat sendiri urusan pengurusan jenazah secara Islam.
MASJID CINA JALAN DAVIS
Masjid ini sudah lama dirancang sejak 10 tahun lalu. Pelan, lukisan dan model sudah dibuat cuma pembinaannya tertunda. Ketika itu saya berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP namun antara masalahnya sebab peruntukan. Bila kutipan MAIWP berkurang, projek berkenaan tidak dapat diteruskan.
Sekarang ini, kita melihat sekiranya masjid ini boleh dibina semula. Kita bawakan dokumen, bawa dalam majlis untuk teruskan projek tersebut. Dari segi kewangan, kita boleh cari. Pembinaan masjid ini penting sebab ia akan menjadi lambang dan model di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur yang sangat strategik di sebelah TRX. Bila strategik ia boleh jadi pusat pelancongan juga.
MACMA berusaha untuk membina beberapa masjid Cina Muslim di seluruh Malaysia. Ada beberapa masjid yang sudah dibina seperti Masjid Muhammadiah di Ipoh, Masjid Cina Melaka di Melaka sementara di Kota Kinabalu, Sabah yang dipanggil Pusat Kebudayaan Cina Muslim, kita sudah dapat tanah dan kini fokus kepada perkara-perkara lanjut seperti kewangan dan pelan.
Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor pula sedang dalam pembinaan dengan 92 peratus telah siap. Insya-Allah masjid ini akan dirasmikan oleh Sultan Selangor.
KEPERLUAN MASJID CINA MUSLIM
Orang tanya saya, sudah ada masjid, buat apa buat masjid Cina? Buat masjid ini orang Melayu tak boleh masuk ke? Masjid ini sebagai lambang bahawa Islam itu agama yang universal. Islam di Malaysia selalu dilihat sebagai agama Melayu. Jadi kita nak tunjuk bahawa Islam ini seluruh alam, untuk semua manusia. Walaupun masjid ini seni binanya Cina tetapi semua orang Islam boleh pergi untuk sembahyang.
Masjid ini sudah mendapat restu daripada Sultan Selangor selepas saya sendiri bercakap dengan baginda dalam satu majlis. Saya kata di negeri-negeri lain sudah ada masjid Cina, di Selangor tiada lagi. Alhamdulillah, baginda berbesar hati berkenan mendengar idea dan terbuka mengarahkan kami untuk menerima peruntukkan sebanyak RM 18 juta. Dalam masa sama, kita terus buat kutipan untuk memastikan pembinaan masjid ini menjadi realiti.
KEISTIMEWAAN MASJID JAMEK CINA MUSLIM KLANG
Ciri-ciri masjid ini bukan seperti masjid lain di negara ini yang masuk-masuk terus nampak dewan sembahyang. Kita akan melalui beberapa pintu gerbang, sama seperti seni bina masjid di Cina. Masuk pintu gerbang pertama akan nampak tanam, masuk pintu gerbang seterusnya nampak kolam ikan kemudian kemudahan lain seperti kelas, tempat mandi jenazah dan hujung sekali barulah dewan solat. Konsepnya sama dengan Masjid Xi’an di China.
Semasa mencari reka bentuk, Sultan Selangor minta kita ikut idea Masjid Xi’an yang dibina pada kurun ketujuh dinasti Ming.
PELANCONGAN ISLAM
Bangsa Cina sangat terbuka untuk mengetahui pasal Islam. Sebab itu apabila buat program seperti di sebuah masjid di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Ramadan lalu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Cina dan ia mendapat liputan media.
Saya juga merupakan Lembaga Pemegang Amanah, Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan sebelum berada dalam jawatankuasa ini lagi kita minta supaya masjid-masjid Cina dijadikan tempat pelancongan dan letak dalam agenda. Alhamdulillah, ia kini berada dalam senarai tempat tarikan pelancongan di negara ini.
Kita ambil contoh masjid bandar raya berdekatan Teluk Likas di Sabah. Masjid itu boleh terima 1,000 pelancong Cina. Ia menjadi sumber pendapatan masjid sebab pelancong dikenakan caj RM5 seorang.
Masa saya jadi Naib Canselor di Universiti Malaysia Sabah (UMS), masjid di sana dikunjungi hampir 500 hingga 600 orang bukan Islam setiap hari. Mereka panggil ‘Pink Church’ sedangkan ia masjid, mungkin sebab warnanya.
Pelancong Cina gemar masuk masjid di negara ini kerana mereka dilarang masuk ke dalam masjid di negara mereka. Bahkan apa-apa berkaitan pentadbiran masjid, kelas agama tidak boleh disertai oleh rakyat Cina di bawah umur 18 tahun.
Mereka juga tertarik dengan seni bina masjid Cina di negara ini kerana walaupun ia kelihatan seperti tokong tetapi ada ciri-ciri syariat Islam. Maksudnya, tiada patung, ia digantikan dengan bunga raya.-UTUSAN










