KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin merayu dua keputusan Mahkamah Tinggi yang melarangnya mengeluarkan kenyataan berkaitan dua kes jenayah yang dihadapinya melibatkan Akta Hasutan 1948.
Beliau yang dikenali sebagai Che’gu Bard, 45, merayu keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Mei lalu yang membenarkan perintah larangan bersuara terhadapnya berkaitan kes mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor itu juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 20 Mei lalu yang mengeluarkan larangan agar tidak membuat kenyataan berkaitan kes penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City, Iskandar Puteri.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu, notis rayuan terhadap kedua-dua kes difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 23 Mei lalu manakala tarikh pendengaran belum ditetapkan.
Ujarnya, pihak pembelaan mahukan Mahkamah Rayuan menentukan sama ada kedua-dua keputusan Mahkamah Tinggi itu betul atau silap dari segi undang-undang.
“Kami berpendapat, kebebasan bersuara walaupun tidak mutlak, ia mesti memberi cukup ruang kepada anak guam selaku tertuduh,’’ ujar beliau kepada pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini semalam.
Muhammad Rafique ditemui selepas sesi pengurusan kes di Mahkamah Sesyen berkaitan dua pertuduhan menghasut dan memfitnah yang dihadapinya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali menetapkan 11 Julai ini bagi penyerahkan baki dokumen oleh pihak pendakwaan kepada pembelaan untuk digunakan pada perbicaraan kelak.
Pada 29 April lalu, Badrul Hisham didakwa membuat penerbitan menghasut di Facebook atas nama ‘Chegubard’ untuk merosakkan nama baik YDPA di Taman Bukit Cheras, pukul 12.15 tengah hari pada 6 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










