SEBAIK sahaja melangkahkan kaki ke Restoran Miker Food yang terletak di Kinta Riverwalk, Ipoh ternyata tempat ini mempunyai tarikan gastronomi tersendiri kerana kepelbagaian menu ala Barat, Timur dan cita rasa Asia.
Malah, ruang dalam dan luar restoran ternyata lebih santai dan tidak tampak bercirikan interior dan fine dining semata-mata yang membolehkan semua golongan dan peringkat umur menikmati makanan dengan selesa.
Ternyata ‘signature’ restoran ini adalah tiga menu berorientasikan Barat iaitu char grill lamb shoulder, nasi goreng lada hitam pepperoni dan spageti makanan laut marinara.
Sebaik sahaja tiba, saya terus dihidangkan dengan char grill lamb shoulder. Aroma dan baunya sememangnya memikat dan pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja untuk menikmatinya.
Berbekalkan saiz daging bahu biri-biri sekitar 350 hingga 400 gram yang ditetapkan oleh pemilik restoran Amzari Zamri, 39, saiz hidangan ini sememangnya mengenyangkan.
Ternyata, daging bahu biri-biri yang dipanggang dengan arang dengan durasi yang cukup sempurna membuatkan ia tetap berjus serta lembut saat dinikmati dengan penuh selera dan nikmat.
Ekstra untuk anda, tambahan sos lada hitam ramuan rahsia buatan sendiri cef restoran yang menyelerakan membuatkan anda tidak mempedulikan apa sahaja yang berlaku di sekeliling.
Gabungan elemen pedas, manis dan masin secukup rasa membuatkan sesiapa sahaja puas menikmati hidangan gaya ekslusif ini dengan harga berpatutan iaitu RM35.90.
Malah, tambahan kentang, tomato dan daun salad mencipta keseimbangan tersendiri menu yang menjadi antara pilihan utama pelanggan restoran ini.
Sebaik sahaja selesai menikmati char grill lamb shoulder, pelayan dengan pantas menghidangkan nasi goreng lada hitam pepperoni.

MenuruT Amzari, nasi goreng itu antara digemari pelanggan kerana bersifat ringkas, mudah dimasak selain mengenyangkan cuma bezanya tambahan bahan iaitu lada hitam dan peperoni.
Ternyata, hirisan peperoni dengan saiznya halus, lada hitam, nasi, sayur-sayuran seperti tomato, daun salad, lobak merah, daun bawang dan cili selain bawang goreng cukup meriah.
Ia seakan-akan gabungan masakan menu Asia iaitu nasi goreng disulami elemen Barat iaitu daging lembu peperoni yang kebiasaannya merupakan bahan utama untuk piza.
————————————————————————————————
RESTORAN MIKER FOOD
Dibuka dari pukul 4 petang hingga 11 malam. Tutup setiap Isnin.
Terletak di lokasi ikonik bandar raya Ipoh iaitu kawasan rekreasi Kinta Riverwalk.
Terdapat lebih 100 jenis menu yang merangkumi masakan tempatan, Barat dan Asia dihidangkan di restoran ini.
Berbicara mengenai rasanya, sebaik sahaja menikmatinya seperti ledakan ‘bom’ rasa kepedasan cili masak dan lada hitam yang sesuai kepada penggemar makanan pedas dengan harga RM13.90.
Namun, pastikan anda mempunyai air minuman mencukupi semasa menikmati nasi goreng ini dengan amaran hanya sesuai kepada yang sukakan kepedasan pada radius tinggi.
Perjalanan gastronomi di Restoran Miker Food masih panjang belum berakhir kerana saya dihidangkan pula dengan spageti makanan laut marinara yang berharga RM18.50 yang sarat dan padat dengan sotong, udang dan kepah segar.
Menariknya, spageti direbus sempurna kerana agak lembut dan mudah dimakan, adunan sos pasta yang memikat selain cili yang memberi rasa sedikit pedas.
Semua elemen ramuan diolah dengan baik yang membangkitkan deria masam, pedas, manis dan masin secukup rasa yang pasti membuatkan sesiapa sahaja kecur liur. Kepada penggemar spageti dan makanan laut, menu ini amat sesuai untuk anda sebagai pelengkap makan malam sebelum tidur dengan lena.
Dalam pada itu, Amzari berkata, sejak mula dibuka pada 2016 sambutan yang diterima cukup menggalakkan kerana konsep restoran ini santai dan terbuka.
“Ia sesuai kepada semua golongan tanpa mengira kaum, status dan peringkat umur untuk menikmati makanan dengan selesa, santai dengan harga yang berpatutan,” katanya yang banyak menerima sokongan moral daripada ayahnya, Zamri Abdul Muti, 70.
Miker Food turut menawarkan menu piza ikan bilis dengan pepperoni buatan sendiri restoran itu serta tomyam kelapa. Istimewanya tomyam ini ialah antara bahan kuahnya, air kelapa muda segar yang pastinya menyegarkan. Ingin tahu lebih lagi, mohle kite ke Restoran Miker Food! – UTUSAN










