NIBONG TEBAL : Hampir 1,000 orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff di tanah perkuburan bersebelahan Masjid Jamek Sungai Acheh di sini, petang ini.
Antara yang kelihatan termasuk Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Menteri Pendidikan merangkap Ahki Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid serta beberapa pemimpin negeri yang lain.
Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff serta beberapa pemimpin daripada pelbagai parti politik terutamanya di peringkat negeri.
Terdahulu, Nor Zamri, 56, yang menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya kira-kira pukul 1.38 petang tadi dibawa pulang ke kampung halamannya di Sungai Acheh di sini kira-kira pukul 5.20 petang.

Jenazah kemudian disolatkan di Masjid Jamek Sungai Acheh kira-kira pukul 6 petang dengan diimamkan oleh Idris.
Sebaik selesai, jenazah terus diusung ke tanah perkuburan untuk urusan pengkebumian yang selesai sepenuhnya kira-kira pukul 7 malam.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk menemubual ahli keluarga mangsa tidak berjaya kerana mereka enggan ditemubual dan masih sedih atas kejadian tersebut.
Allahyarham Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal meninggalkan seorang balu, Musalmah Yusop dan enam orang anak.-UTUSAN










