Nor Zamri masih di ICU, doakan beliau sembuh - Muhammad Fauzi

Nor Zamri masih di ICU, doakan beliau sembuh – Muhammad Fauzi

MUHAMMAD Fauzi Yusoff ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan bangunan DUN Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff ketika ditemui pemberita di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Muhammad Fauzi berkata, beliau sering melawat Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu di hospital dan kali terakhir berbuat demikian ialah pada Rabu lalu.

“Nor Zamri masih terima rawatan. Keadaannya lebih baik daripada sebelum ini, namun, dia masih dalam rawatan lanjut.

“Saya melawat banyak kali, sebelum saya ke Kelantan (Rabu lalu) pun saya ada melawat. Nor Zamri dalam proses rawatan dan doktor suruh berehat. Dia perlukan rehat,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang berkata, pihaknya juga telah mengemukakan surat cuti sakit bagi pihak Nor Zamri kepada Speaker DUN Pulau Pinang.

“Pada sidang DUN kali ini, kami pembangkang seramai 10 orang. Surat cuti sakit Nor Zamri pun telah kami kemukakan kepada Speaker DUN,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya dakwaan pelbagai pihak yang mendakwa Nor Zamri dalam keadaan kritikal, Muhammad Fauzi berkata, adalah lebih baik sekiranya orang ramai dapat mendoakan agar Nor Zamri segera sembuh.

“Kita ada adab dengan keluarga sebab itu saya tidak mahu keluarkan kenyataan. Kita harap beliau sembuh dan dapat datang bersama-sama dalam sidang DUN ini,” katanya.

Sebelum ini, Nor Zamri dilaporkan ditempatkan di ICU hospital berkenaan kerana mengalami komplikasi di bahagian perut.

Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu memenangi kerusi DUN Sungai Bakap dengan majoriti 1,563 selepas mendapat undian 15,433 mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR iaitu Nurhidayah Che Rose.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN