ADUN Sungai Bakap stabil, kini separa sedar

ADUN Sungai Bakap stabil, kini separa sedar

MUSALMAH Yusop ketika ditemui pemberita di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latif, 56, dilaporkan masih berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya.

Isteri kepada Nor Zamri, Musalmah Yusop, 50-an berkata, suaminya yang berada dalam keadaan separa sedar itu bagaimanapun masih memerlukan rehat yang secukupnya pada masa ini.

“Semalam lagi dia sudah stabil dan doktor juga sudah memberikan dia ubat tidur untuk dia berehat sekarang.

“Dia juga bukan ditidurkan, tetapi, doktor memberinya ubat untuk tidur. Jadi, sekarang pun kalau kita panggil, dia akan memberi tindak balas.

“Dia adalah wakil rakyat yang berkebajikan dan prihatin. Saya berharap agar keperihatinannya sebelum ini dibalas dengan doa orang yang pernah dia bantu,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Musalmah berkata, doktor juga telah melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan) terhadap Nor Zamri dan keadaan suaminya itu ketika ini adalah baik.

“Pada masa sekarang, keluarga saya juga memohon agar diberikan ruang untuk tidak diganggu di hospital ini.

“Kami memohon ruang daripada semua pihak dan kami akan maklumkan perkembangan kesihatan Nor Zamri kepada semua pihak kerana kami faham ramai yang menantikan keadaan terkininya.

“Apabila dia sudah dipindahkan ke wad biasa, kami akan maklumkan,” kata wanita itu lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu kini dirawat ICU Hospital Seberang Jaya kerana komplikasi di bahagian perut.

Nor Zamri dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu susulan sakit di bahagian perut dan kini ditidurkan selepas doktor mendapatkan kebenaran daripada ahli keluarganya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang lalu, Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap apabila memperoleh 15,433 undian berbanding lawannya, Norhidayah Che Ros (PH-PKR) yang hanya memperoleh 13,870 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×