PETALING JAYA: Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) menyifatkan kematian bayi berusia empat bulan di sebuah taska di Hospital Seberang Jaya baru-baru ini sebagai insiden yang mencemarkan imej taska berdaftar.
PPBM berkata, kebanyakan taska berdaftar sentiasa berusaha memastikan keselamatan serta kebajikan bayi dan kanak-kanak berada pada tahap terbaik melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan yang ditetapkan.
Menurutnya, pengusaha dan pengasuh taska haruslah mematuhi SOP serta melaksanakan polisi perlindungan kanak-kanak bagi memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak sentiasa terjamin.
“Setiap pengusaha juga perlu memastikan pengasuh mempunyai kelayakan serta latihan sewajarnya termasuk menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (KAP) serta kursus berkaitan penjagaan bayi.
“Mereka juga disaran meneliti latar belakang pengasuh sebelum dilantik khususnya yang ditugaskan menjaga bayi memandangkan penjagaan golongan itu memerlukan kemahiran, kesabaran dan tahap kematangan yang tinggi.
“Selain itu, waktu kerja pengasuh tidak seharusnya melebihi tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan keletihan melampau yang boleh menjejaskan kualiti penjagaan terhadap bayi dan kanak-kanak di taska,” katanya dalam kenyataan.
Tambah PPBM, pengusaha taska juga digesa memastikan pengasuh dihantar mengikuti kursus tambahan berkaitan pengurusan serta penjagaan bayi sekiranya premis tersebut menawarkan perkhidmatan penjagaan bayi.
“Selain aspek tenaga kerja, persekitaran ruang penjagaan bayi juga perlu dipastikan selamat, bersih dan selesa termasuk menyediakan kemudahan seperti katil bayi yang sesuai bagi mengurangkan risiko kecederaan.
“Kewajipan utama pengusaha dan pengasuh ialah mengetahui serta menyediakan semua SOP bagi memastikan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, PPBM turut menegaskan bahawa pelantikan atau pemilihan pengusaha oleh kementerian atau jabatan bagi menyediakan perkhidmatan taska 24 jam seperti di hospital atau kilang perlu dilakukan dengan teliti.
‘Pengusaha yang dilantik hendaklah memastikan penyediaan jadual kerja pengasuh secara syif bagi menjamin kualiti penjagaan kanak-kanak sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Sekiranya pada waktu siang terdapat 10 orang pengasuh bertugas, jumlah yang sama juga perlu disediakan pada waktu malam mengikut nisbah kanak-kanak dan pengasuh yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN









