SEBERANG PERAI – Manifesto KERJA yang diumumkan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail mampu menjadi kenyataan biarpun peruntukan yang akan diterimanya sebagai wakil rakyat pembangkang jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap nanti adalah terhad.
Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, dalam hal ini, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN sebenarnya tidak pernah berpeluk tubuh, sebaliknya, mereka sentiasa berusaha untuk mencari dana tambahan bagi memastikan penduduk setempat menerima segala bantuan serta insentif yang diperlukan.
“Kita tahu wakil rakyat (kerajaan negeri) menerima peruntukan sehingga RM300,000 (setahun) manakala kami (wakil rakyat pembangkang) hanya dapat peruntukan infrastruktur sebanyak RM60,000.
“Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat kami, malah, kami tidak berpeluk tubuh (daripada mencari dana) dan berusaha memberi bantuan serta insentif (kepada kawasan penduduk yang diwakili) termasuk bantuan Ramadan seperti hamper dan bakul makanan setakat kemampuan kami.
“Sekarang ini kita ada 10 wakil rakyat (PN) dan insyaAllah, tidak lama lagi, 11 ditambah dengan kedatangan Abidin (jika menang PRK Sungai Bakap) di mana kita akan bekerja dengan amanah serta membawa suara rakyat ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Muhammad Fauzi yang juga ADUN Sungai Dua berkata demikian ketika sidang media pengumuman ‘Tawaran Buat Rakyat’ oleh PN sempena PRK Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Halaman Indah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, pihaknya percaya dengan keupayaan Abang Abidin yang pernah bertugas lebih sepuluh bulan sebagai pegawai khas ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.
“Ada isi manifesto yang sudahpun dilaksanakan dan kita perincikan semula supaya lebih teratur dan dapat diterima rakyat Sungai Bakap,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Abidin yang juga merupakan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal dengan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin.
Terdahulu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN








