PETALING JAYA: Jepun menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin merangkumi pelbagai aspek termasuk kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam pertemuannya di Tokyo hari ini.
“Kami berdua juga turut menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk konflik di Palestin yang mana saya sekali lagi menyatakan solidariti buat rakyat negara itu.
“Jepun juga telah menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melingkupi aspek kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula kawasan yang musnah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Anwar kini berada di Tokyo bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam Persidangan Nikkei tersebut turut menyentuh isu kemanusiaan di Gaza yang kini sudah berlarutan selama tujuh bulan.
Sementara itu, dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya itu, Anwar berkata, kedua-dua negara berpeluang menilai kerjasama antara Malaysia – Jepun membabitkan pelbagai bidang.
“Ia membabitkan bidang pelaburan pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi,” katanya.
“Saya berharap agar hubungan dengan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara,” katanya.- UTUSAN










