PETALING JAYA: Malaysia mengekalkan pendirian mengambil sikap berkecuali dalam ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China sekali gus menolak untuk terbabit dalam ‘perang dingin’ membabitkan kedua-dua kuasa besar tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun, turut menggunakan istilah ‘tersangat neutral’ bagi merujuk pendirian Malaysia terhadap kedua-dua negara tersebut.
Beliau menegaskan bahawa, Malaysia dan negara Asia lain harus bersikap neutral dan mengimbangi hubungan dengan AS dan China.
“Keadaan telah berubah. Lebih banyak negara mengamalkan lebih bebas daripada menjadi sebahagian ‘perang dingin’.
“Tiada sesiapa, tiada negara harus menentukan (pendirian negara lain). Kami akan memutuskan sendiri apa yang terbaik untuk negara kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia dalam isu membabitkan perseteruan antara AS dengan China yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Turut mengiringi Anwar adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Bagaimanapun, Perdana Menteri turut menzahirkan harapan supaya AS dan China dapat menyelesaikan perbezaan antara mereka dan pada masa sama AS tidak terlalu melindungi serta menghormati persaingan.
“Tetapi itu adalah untuk pemimpin dan penggubal dasar mereka untuk membuat keputusan. Bagi Malaysia, kami akan terus melibatkan diri dan menganggap AS sebagai sekutu penting dan meningkatkan kerjasama dengan China,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia mengiktiraf kekuatan ekonomi dan ketenteraan China yang semakin meningkat namun berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan, ada platform untuk diselesaikan.
Beliau berkata, pendekatan sama digunakan terhadap AS walaupun mungkin ada perselisihan pendapat namun tidak bermakna perlu memutuskan hubungan.
“Apabila saya memegang jawatan Pengerusi ASEAN (tahun depan), saya akan menyeru negara anggota mengambil pendirian sama, supaya kita boleh melibatkan diri dengan negara jiran termasuk China untuk mencari penyelesaian secara baik terhadap perbezaan,” katanya.- UTUSAN











