PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan tidak menghalang mana-mana pihak untuk memfailkan petisyen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Pakatan Harapan bersedia berhadapan dengan tindakan itu khususnya daripada Perikatan Nasional (PN).
“Kumpullah bukti,” katanya ringkas pada sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan fakta dan bukti salah laku pada PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini sebelum mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi DUN itu selepas calonnya Pang Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 undi.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabar dari PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi manakala, calon bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan mengenai tindakan kerajaan negeri Kelantan yang mahu menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu.
“Perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (semalam),” katanya.
Berhubung isu insiden jenayah dan serangan yang berlaku dalam negara akhir-akhir ini, Fahmi berkata, Jemaah Menteri diberikan maklumat terkini insiden itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat secara menyeluruh. – UTUSAN










