KUALA KUBU BAHARU: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, awal bulan lalu.
Ramasamy, 66, meminta dibicarakan selepas didakwa semula di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret manakala pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan, Ramasamy didakwa secara tidak langsung mempamerkan gambar YDPA dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Perbuatan itu didakwa berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.
Kesalahan tersebut dilakukan di sekitar kawasan Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu di sini pukul 5.40 petang pada 4 Mei lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin
Namun peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnnya merupakan pesara yang tiada pendapatan tetap.
“Segala perbelanjaan ditampung oleh anak-anak tertuduh. Mohon satu jumlah jaminan paling rendah diberikan,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan Ramasamy diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun untuk sebutan kes.
Minggu lalu, mahkamah menetapkan hari ini bagi tertuduh didakwa semula atas kesalahan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan Ramasamy tidak dikemukakan di mahkamah.
Pada 6 Mei lalu, Ramasamy telah dihukum penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret KKB selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Bagaimanapun pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kes Ramasamy dikembalikan semula untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret KKB.
Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Wendy Ooi Su Ghee membenarkan semakan kehakiman Ramasamy selaku pemohon terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya. Dalam penghakimannya Wendy Ooi berkata, pengakuan salah Ramasamy ditolak kerana disifatkan sebagai pengakuan bersyarat kerana tertuduh tidak memahami pertuduhan tersebut.
Tertuduh juga menyebut bahawa dirinya tidak tahu penggunaan gambar Seri Paduka sebagai satu kesalahan. Disebabkan itu, kes dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret untuk dibicara,” kata Wendy Ooi. – UTUSAN









