PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan salam takziah kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta seluruh Kerabat Diraja atas kemangkatan Tengku Baderul Zaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Seri Paduka Baginda berdua turut memanjatkan doa buat Allahyarham Tengku Baderul Zaman agar rohnya mendapat keberkatan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah SWT.
“Dipanjatkan doa semoga roh Almarhum dilimpahi keberkatan dan kerahmatan serta diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” titah Baginda.
Terdahulu, Tengku Baderul Zaman, 51, dilaporkan mangkat pada pukul 1.20 pagi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham dijadual disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu selepas diberikan penghormatan terakhir di Balai Islam, Istana Syarqiyyah.
Susulan kemangkatan itu, Sultan Mizan turut menitahkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula hari ini. – UTUSAN











