Balai polis diserang: Suasana hiba iringi pengebumian Muhammad Syafiq - Utusan Malaysia

Balai polis diserang: Suasana hiba iringi pengebumian Muhammad Syafiq

JENAZAH Muhammad Syafiq Ahmad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Suasana hiba menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang di sini yang menjadi lokasi pengebumian jenazah Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, anggota polis yang terkorban akibat serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.

Jenazah anak ketujuh daripada lapan beradik ini tiba di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 5.17 petang.

Sebelum itu, jenazah sempat disolatkan kali kedua di kediaman ibu bapanya di Taman Sri Mahkota Jaya, Jaya Gading, di sini.

Upacara pengebumian Muhammad Syafiq itu disempurnakan oleh pasukan polis dan penduduk setempat yang terlibat.

Dalam pada itu, dianggarkan kira-kira 500 orang hadir mengiringi perjalanan terakhir Muhammad Syafiq sebelum disemadikan.

Kelihatan keluarga dan kenalan sedih mengiringi pemergian Muhammad Syafiq namun mereka tetap tabah dengan ketentuan Ilahi.

Jenazah Muhammad Syafiq selamat dikebumikan kira-kira pukul 5.50 petang.

Muhammad Syafiq, 24, merupakan anggota ronda cegah jenayah terkorban bersama seorang lagi anggota, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.54 pagi semalam apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.

Terdahulu, jenazah Muhammad Syafiq dibawa dari Masjid Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru selepas dimandi dan dikafankan sebelum bergerak ke Kuantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×