DUBAI: Sebuah kilang baharu di Abu Dhabi akan mula menghasilkan vaksin Covid-19 menggunakan bahan dari syarikat farmaseutikal China, Sinopharm pada tahun ini
Ia merupakan kerjasama antara Sinopharm dan Group 42 (G42) iaitu sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Abu Dhabi.
Lapor Reuters, projek itu merupakan lanjutan daripada diplomasi kerajaan China di negara Teluk dan membantu Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempelbagaikan ekonomi negaranya selain daripada pengeluaran hidrokarbon.
Menurut kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan, kilang tersebut yang akan dibina di Khalifa Industrial Zone of Abu Dhabi (KIZAD), bakal mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 200 juta dos setahun dengan tiga barisan pengisian dan lima barisan pembungkusan automatik.
Vaksin itu akan dikenali sebagai Hayat-Vax ketika dikeluarkan di UAE namun ia merupakan vaksin virus tidak aktif yang sama dari Institut Produk Biologi Beijing (BiBP) yang diluluskan oleh UAE bagi kegunaan umum pada Disember lalu.
Menurut kenyataan itu, penghasilan vaksin Hayat-Vax sudah pun bermula di Ras Al Khaimah dibawah perjanjian antara G42 dan Gulf Pharmaceutical Industries.
UAE melalui G42 telah menjalankan ujian klinikal fasa ketiga vaksin Sinopharm pada Julai tahun lalu, yang kemudian berkembang ke negara-negara lain di rantau itu termasuk Bahrain.
Perjanjian itu dimeterai ketika lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke UAE selama dua hari yang berakhir pada Ahad lalu.










