Penunggang motosikal cedera dihempap pokok tumbang - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal cedera dihempap pokok tumbang

ANGGOTA bomba memberikan rawatan kepada seorang penunggang motosikal yang cedera selepas dihempap pokok tumbag dalam kejadian yang berlaku di Jalan Seremban-Tampin dekat Seremban pagi tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lagi kes pokok tumbang di daerah ini dan pagi tadi kejadian berlaku di Jalan Seremban-Tampin di sini yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1, Zainurin Sharif berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 6 pagi tadi mengenai kejadian pokok tumbang dan menghalang lalu lintas di Jalan Seremban-Tampin, di sini pagi tadi.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dan Seremban seramai 17 orang telah bergegas ke tempat kejadian.

“Kejadian pokok tumbang itu melibatkan seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun yang sedang menunggang motosikal telah dihempap dengan pokok tersebut. 

“Keadaan mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan diberi rawatan awal daripada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bertugas. 

“Seterusnya kerja-kerja pembersihan pokok tersebut berjaya dilakukan sepenuhnya pada pukul 7.02 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini beberapa kejadian pokok tumbang ekoran hujan lebat dan angin kuat dilaporkan berlaku di daerah ini termasuk terbaharu kelmarin apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap dua khemah peniaga pasar malam di Taman Semarak, Nilai-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×