Lawrence Wong angkat sumpah Perdana Menteri Singapura 8

Lawrence Wong angkat sumpah Perdana Menteri Singapura 8 malam ini

LAWRENCE WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Lawrence Wong, 51, akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu pukul 8 malam ini di Istana Singapura.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Lawrence, 51, akan menggantikan Hsien Loong, 72, yang sudah berkhidmat sebagai perdana menteri sejak 2004.

Lawrence, ahli ekonomi yang berpendidikan dari Amerika Syarikat (AS) dilihat secara meluas sebagai ahli media sosial yang bijak menangani krisis Covid-19 dengan berkesan apabila menyelia pasukan petugas pandemik kerajaan.

Penganalisis politik, Mustafa Izzuddin berkata, beliau membawa gaya kepimpinan yang lebih sesuai dengan generasi berbeza.

“Prinsip teras Singapura akan kekal kerana ia adalah sistem yang terbukti berfungsi selama bertahun-tahun.

“Namun, saya rasa gayanya mungkin berbeza sedikit kerana beliau berasal dari generasi berbeza,” katanya.

Lawrence yang juga Menteri Kewangan dipilih Hsien Loong pada 2022 daripada generasi baharu dalam kalangan penggubal undang-undang daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah tanpa gangguan sejak kemerdekaan pada 1965.

Pada 13 Mei lalu, Hsien Loong secara rasmi memaklumkan kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam mengenai hasratnya untuk meletak jawatan dan menasihatkan Tharman untuk menjemput Wong yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan seterusnya.

Beliau mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen PAP.

Lawrence yang juga Ahli Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee menerima jemputan Presiden dan seterusnya memaklumkan mengenai barisan Kabinet baharu beliau, yang juga akan mengangkat sumpah hari ini.

Lawrence yang menjadi Perdana Menteri keempat dalam sejarah Singapura akan menggalas tanggungjawab mengetuai PAP pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

PRU tidak dijangka berlaku sehingga November 2025, namun boleh dipanggil seawal tahun ini.

Pada PRU 2020, pembangkang menunjukkan prestasi terkuat sejak merdeka, namun 83 daripada 93 kerusi dimenangi oleh PAP.

Imej bersih PAP baru-baru ini dicemari oleh skandal yang menyaksikan dua Ahli Parlimen meletak jawatan dan seorang menteri didakwa dengan rasuah.

Parti Pekerja yang juga parti pembangkang utama Singapura, turut mengalami skandal dengan dua ahli meletak jawatan dan ketuanya didakwa memberi keterangan palsu di hadapan Jawatankuasa Parlimen. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×