HULU SELANGOR: Seorang pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu melakukan perjalanan dari Negeri Sembilan ke sini bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
Pengundi terakhir, Maryam Yusof berkata, beliau gembira dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di PRK Kuala Kubu Baharu di SMK Kuala Kubu Baharu,
Katanya, beliau berlari kerana hanya tinggal seminit lagi sebelum pusat mengundi ditutup pada pukul 6 petang.
“Saya dari Palong, Negeri Sembilan pergi ke Kajang sebab nak (mengundi) sekali dengan abang (saya yang) habis syif kerja pukul 2 petang.
“Tetapi sangkut di jalan kerana hujan lebat dan kesesakan dekat Damansara. (Saya) cuba nak sampai (ke pusat mengundi) sebab tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Baharu, di sini.
Kesemua pusat mengundi mula dibuka bagi membolehkan pengundi di Kuala Kubu Baharu menjalankan tanggungjawab mereka sejak pukul 8 pagi tadi dan kesemua peti undi dijadualkan ditutup pada pukul 6 petang.
Kecuali di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Bukit Fraser (Tapak Lama) di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pertak yang dibuka selama 6 jam sehingga pukul 2 petang.
PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.
Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.- UTUSAN










