KUALA LUMPUR: Replika dron Shahed-149 buatan Iran atau dijoloki dengan nama ‘GAZA’ menjadi tumpuan pengunjung pada hari terakhir Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, semalam.
Pesawat tanpa pemandu (UAV) yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 2021 itu dinamakan sebagai ‘GAZA’ sebagai penghormatan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Menurut pegawai dari Kementerian Pertahanan Iran yang enggan namanya disiarkan, dron tersebut tidak digunakan ketika negara republik itu menyerang Israel baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau berkata, dron GAZA memulakan perkhidmatannya di Syria sejak tiga tahun lalu dalam usaha memerangi pengganas Daesh.
“Dron Shahed-129 ini dikategorikan sebagai pesawat beraltitud tinggi, tahan lama dan mampu membawa 13 bahan ledakan dalam satu-satu operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, fungsi dron GAZA berbeza dengan Shahed-139 yang digunakan Iran dalam operasi ketenteraannya terhadap Israel baru-baru ini kerana dron tersebut dikategorikan sebagai ‘suiside bomber’.
Shahed-149 atau dron GAZA sepanjang 10 meter, tinggi empat meter dan lebar sayap 21 meter itu juga dilengkapi dengan kuasa ketahanan lebih 24 jam, kelajuan mencecah 350 kilometer sejam dan berupaya terbang sehingga 35,000 kaki.
Ia juga mampu membawa peranti elektronik seberat 500 kilogram.
Pesawat tersebut direka semula oleh Shahed Aviation Industries dan dihasilkan oleh Iran Aircraft Manufacturing Industries Corporation (HESA).
DSA dan NATSEC Asia 2024 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini bermula Isnin lalu, melabuhkan tirainya semalam.
Acara dwitahunan yang memasuki dalam edisi ke-18 itu bertemakan Building Resilient Nations For The Next Generation dan telah menarik penyertaan 1,324 syarikat dari 60 negara, dengan 34 negara mempunyai pavilion sendiri, termasuk Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali dan Amerika Syarikat.
Antara syarikat pertahanan dan keselamatan gergasi dunia yang turut menyertai dalam edisi kali ini adalah Airbus Group, BAE System, Beretta Defence Techonologies (BDT), EDGE, Leonardo, MBDA dan Sarsilmaz Silah Sanayi (Turkish Industry Association). – UTUSAN










