Perlukan masa, dana bukan setakat janji

Perlukan masa, dana bukan setakat janji

AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendengar penerangan Dr. Sathia Prakash Nadarajan semasa pelancaran Podcast Suara Perpaduan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor di Serendah minggu lalu. Podcast berkenaan mengajak rakyat di Hulu Selangor termasuk Kuala Kubu Baharu meluahkan isu-isu berkaitan pembangunan dan penyelesaiannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TINGGAL 24 jam sahaja lagi tempoh berkempen sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu esok. Berbahang dengan pelbagai isu bertebaran untuk menarik sokongan kira-kira 40,000 pengundi.

Namun, Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Parlimen Hulu Selangor, DR. SATHIA PRAKASH NADARAJAN dalam temubual dengan wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID meminta anak muda tidak terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan yang berniat buruk terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan di media sosial. Beliau maklum apa sahaja strategi akan digunakan pembangkang untuk merampas kerusi hatrik DAP itu. Berikut pandangannya:

 

ISU PANAS
SUDAH tentu isu-isu dimainkan pembangkang adalah kenaikan harga barang. Tetapi malangnya mereka tidak memaparkan perkara yang sebenar kepada rakyat. Pembangkang sering berkata negatif terutama tentang harga barang dan ‘makan ubi kayu’. Padahal apa yang ingin disampaikan dan apa yang diceritakan itu hanya akan wujud apabila berlaku kekurangan bekalan beras, walau bagaimanapun sehingga kini makanan ruji kita tetap nasi.

Orang gunakan satu perkataan sahaja (untuk jadikan isu) bukan seluruh maklumat. Sekarang, apabila isu paling besar yang kita utarakan, pasti mereka akan bantah. Apa yang kedengaran negatif itulah yang akan dipaparkan.

Masyarakat pula cepat terpengaruh dengan apa yang mereka dengar tanpa mengetahui kesahihan sesuatu perkara. Kalau kita perasan, benda begini cepat tular, sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke luar negara membincangkan pelbagai isu malah berjaya menarik pelabur di pasaran Malaysia.

Menteri Besar Selangor juga sentiasa mengambil peduli hal ehwal rakyat. Lihat sahaja jalan lama sekarang sudah menjadi jalan besar dan sebagainya. Itu semua kita lakukan walaupun (usia) kerajaan Madani tidak sampai lagi dua tahun, kita akan lakukan yang terbaik untuk selesaikan masalah rakyat.

Begitu juga isu rumah. Kita tahu perkara ini menjadi isu hangat sejak dahulu lagi dan pastinya kita sentiasa cuba untuk selesaikan. Rakyat perlu faham, ia bukan tentang PRK, baru nak buat tetapi prosesnya mengambil masa. Kita buat terbaik, kita hantar surat dan sebagainya. Bukannya kita tak buat.

Cuma kalau ada sedikit kelebihan, kita boleh percepat projek-projek ini.

PEMBANGKANG BUAT APA?
Bila pihak sana dengan cara mereka cakap macam kita (PH) tak buat apa-apa, tak memberi manfaat dan sebagainya, itu sangat tidak beradab bagi kami.

Pandangan dan pendapat orang berbeza. Penting untuk jadi seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berintegriti bukan setakat tahu tentang kawasan sahaja. Kalau ada integriti tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab, tak guna juga.

KEMPEN PRK
Banyak isu yang sengaja dibangkitkan. Kenapa tiada orang bincang tentang apa yang Perdana Menteri telah buat, yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara? Awak tahulah kan, berapa banyak pelaburan yang dibawa balik, bagaimana beliau bertungkus-lumus selesaikan semua masalah.

MASIH TIDAK BERSATU
Konsepnya senang sahaja, Malaysian. Kita semua anak Malaysia, tak kisah bangsa Cina, India, Melayu, Kadazan atau Orang Asli. Kenapa tidak boleh pergi dengan konsep ini? Kalau kita ikut konsep ini, banyak masalah sudah selesai. Kita faham miskin tegar sekurang-kurangnya ada India, bukan tiada.
Tapi Anwar sedaya upaya selesaikan masalah ini dengan cepat. Macam isu tandas, tak pernah (kerajaan) sebelum ini selesaikan isu tandas sebab itu tentang kebersihan.

Pada usia 76 tahun, beliau tidak henti-henti menghadiri program demi untuk rakyat dan negara. Beliau sudah buat perkara yang luar biasa, dia tanggung yang bukan satu setengah tahun pentadbirannya tapi mewarisi hutang-hutang lama kerajaan terdahulu, Hutang 10 hingga 20 tahun lalu, pasca Covid-19 lagi. Tiada orang terfikir tentang pasca Covid-19 yang menjadi krisis seluruh dunia. Faktor-faktor ini tiada orang bincang.

SENTIMEN MASYARAKAT
Ada sedikit isu-isu yang rakyat kurang gembira. Saya tak nafikan tapi saya yakin ia boleh diselesaikan. Contohnya kerajaan-kerajaan sebelum ini, mereka tak sebut akan jaga orang India. Masa itu anda berkuasa, buatlah apa yang perlu tapi sekarang ‘datang terus beli jiwa’.

Bila mereka (pembangkang) ada isu dalaman, kita tak masuk campur tapi bila tiba-tiba bangkitkan semua isu, ia tak betul. Kenapa perlu melagakan. Tiba-tiba masuk campur dan sebagainya.

Saya berada di sini sejak dulu, tetapi mana semua orang? Kenapa bila nak PRK, baru datang dan bersuara. Pepatah ada menyebut, buaian diayun anak dicubit. Anda mengungkit segala yang telah dilakukan kononnya untuk menyelesaikan masalah, sedangkan itu bukanlah jalan penyelesaian. Kita kaum India sensitif. Dan mereka (pihak tertentu) gunakan sentimen ini untuk lagakan satu sama lain.

Saya yakin masyarakat India faham dan mereka juga cerdik. Ini pendapat jujur saya kerana mereka minta apa yang diperlukan dan peluang yang bagus untuk kita selesaikan seperti hospital pakar dan pendidikan.

Mereka juga faham kenapa kita (kerajaan) tidak buat lagi kerana Anwar masih baharu sebagai perdana menteri. Jadi, ada benda-benda yang menjadi keutamaan yang perlu diselesaikan terutama isu lokaliti.

Berkaitan keperluan sebuah hospital pakar di Kuala Kubu Baharu, kita di sini agak jauh untuk ke Slim River, Sungai Buloh dan Selayang. Semua orang tahu Hulu Selangor ini lebih besar dari Melaka.

HARAPAN
Harap penduduk dan pengundi tidak ‘tergoda’ atau terpengaruh dengan apa-apa khabar angin dari luar dan mereka tahu itu isu-isu parti yang digunakan pembangkang (untuk tarik undi).

Kalau pembangkang menang pun, apa mereka boleh buat? Kita ambil contoh Hulu Bernam (kerusi Pas). Saya pelik apabila di Parlimen boleh tanya mengenai elaun yang boleh mereka dapat sebagai penyelaras. Ini bukan isu Parlimen.

Kedua, boleh tanya kenapa ada pihak-pihak tak benarkan dia masuk KRT (Kawasan Rukun Tetangga). Saya rasa benda ini normal. Kita pun banyak tempat yang tak boleh masuk. Ini bergantung pada budi bicara, apa yang kita boleh bantu dan sebagainya.

ORANG MUDA
Anak-anak muda di Kuala Kubu Baharu bergantung kepada media sosial untuk dapatkan maklumat dan mereka kini sudah mula faham. Jangan mudah ‘tergoda’ dengan orang luar yang masuk ke sini. Itu sahaja.

Sekarang ini PN (Perikatan Nasional) cuma nak masuk kawasan ini tapi mereka tak boleh buat apa. Kerajaan negeri tak akan bertukar. Siapa yang rugi? Kita tidak mahu bagi rakyat rugi, kita nak rakyat dapat banyak manfaat.

PROJEK BAHARU
Kita sudah baiki jalan-jalan lama, berhubung isu perumahan yang sudah 20 tahun juga Menteri Besar Selangor sudah bincang dengan Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Nanti mereka akan umumkan yang terbaik.

Kerajaan negeri dan Persekutuan cuba sedaya upaya tetapi ia memerlukan masa dan dana, bukan setakat janji sahaja. Saya tahu Anwar tak akan janji kosong, beliau akan buat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×