BANGKOK: Thailand akan menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik menjelang akhir tahun ini.
Langkah ini dianggap pusingan U yang menakjubkan selepas hanya dua tahun menjadi sebuah daripada negara Asia terawal yang ‘menghalalkan’ penggunaannya dan dijadikan bahan rekreasi.
Perdana Menterinya, Srettha Thavisin berkata, langkah itu dibuat walaupun pertumbuhan pesat sektor runcit domestik untuk ganja dengan puluhan ribu kedai dan perniagaan wujud di Thailand dalam tempoh dua tahun lalu.
Malah, katanya, industri berkenaan diunjurkan bernilai sehingga AS$1.2 bilion (RM5.7 bilion) pada 2025.
“Saya mahu Kementerian Kesihatan Thailand meminda peraturan dan menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik.
“Kementerian harus segera mengeluarkan peraturan untuk membenarkan penggunaannya untuk tujuan kesihatan dan perubatan sahaja.” kata Perdana Menteri dalam platform media sosial X seperti dilapor The Straits Times.
Ganja dihalalkan untuk kegunaan perubatan pada 2018 dan penggunaan rekreasi pada 2022 di bawah kerajaan terdahulu, tetapi pengkritik mengatakan liberalisasinya disegerakan, menyebabkan kekeliruan besar tentang peraturan.
Perdana Menteri Thauland berikrar untuk mengambil pendirian tegas terhadap dadah terlarang dan mengarahkan pihak berkuasa untuk menyampaikan keputusan dan menunjukkan kemajuan yang jelas dalam 90 hari akan datang.
“Dadah adalah masalah yang merosakkan masa depan negara, ramai anak muda ketagih. Kita kena kerja cepat, rampas aset (pengedar dadah) dan luaskan rawatan,” katanya.
Beliau juga meminta pihak berkuasa untuk mentakrifkan semula apa yang dimaksudkan dengan pemilikan dadah di bawah undang-undang daripada jumlah kecil kepada satu pil untuk membolehkan penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.










