Jangan gadai amanah, budi demi kejar sokongan murah

Jangan gadai amanah, budi demi kejar sokongan murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA dah jadi dengan cara dan arah pemikiran masyarakat kita pada hari ini? Kadangkala kita seolah-olah tidak mampu lagi membuat penilaian yang jujur tanpa dibayangi sentimen politik kepartian. Akibatnya, yang putih boleh dipandang hitam, yang hitam pula dikatakan putih.

Kita berpolitik sepanjang masa dan semua perkara mahu dipolitikkan. Apatah lagi apabila menjelang pilihan raya. Nampak sahaja ada peluang, kita terus menyerang lawan walaupun sedar bahawa tuduhan itu tidak benar. Huru-hara masyarakat jadinya.

Orang politik suka berhujah tentang pentingnya politik matang, kejujuran dan ketelusan. Tetapi matangkah cara kita berpolitik? Jujurkah kita ketika berkempen? Adakah ketelusan itu satu kebenaran ataupun hanyalah gula-gula manis bagi memikat pengundi?

Kempen pilihan raya, sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan sahaja sering dipenuhi serba janji bulan bintang, tetapi turut dikotori kata-kata yang kurang menyenangkan. Malah, bukan sekadar itu sahaja, tuduhan liar dan fitnah pun turut ditabur tanpa rasa bersalah, semuanya dirangka atas nama strategi politik.

Lebih panas cerita direka, lebih mudah ia menjadi tular. Yang peliknya, cerita kitar semula yang tidak benar pun kadangkala boleh kembali tular berkali-kali menjelang pilihan raya seterusnya. Akibatnya, ramai yang bukan sahaja tertipu tetapi ikut terpalit dosa kerana menyambung fitnah.

Mainan emosi amat penting pada saat-saat akhir menjelang hari mengundi, lebih-lebih lagi untuk memikat pengundi atas pagar. Elemen ini dieksploitasi supaya pengundi terasa bergantung harap kepada mereka dengan sepenuh hati dan tidak lagi beralih hati.

Ada yang berapi-api menegakkan benang basah. Ramai pula yang percaya dengan sepenuh hati. Untuk menutup cerita, mereka menyerang lawan dengan pelbagai tuduhan. 

Lucunya, kadangkala dalam keghairahan menyerang, ada yang tanpa sedar tertembak kaki sendiri. Bukannya mudah mengawal keadaan apabila tukang masaknya ramai dan juadahnya berbagai-bagai jenis.

Ibarat wabak, gejala ini turut menjangkiti ruangan politik kampus universiti. Masing-masing mahu meniru gaya kempen sebegitu. Awal tahun ini, kempen pilihan raya perwakilan pelajar di sebuah universiti tempatan mendapat pujian mahasiswa, termasuk daripada mahasiswa universiti lain kerana dianggap ‘matang’ dan ‘realistik’.

Kempen tersebut memperlihatkan budaya menghina calon lawan secara terbuka dan berleluasa, termasuk melukis lakaran tidak senonoh berkaitan calon-calon serta banyak lagi perbuatan biadab dan bertentangan dengan tatasusila agama dan bangsa kita.

Terpengaruh dengan gaya politik jalanan, budaya anarki dianggap sebagai lambang kebebasan. Jika ditegur kerana melakukan sesuatu yang tidak bersifat budiman, pihak lain akan disalahkan kerana kononnya bersikap terlalu sensitif. 

Katanya jika mahu berpolitik, hati mesti kental dan sanggup dicemuh. Tetapi, apabila dikritik, ada yang menangis air mata buaya, berlakon mangsa atau ‘play victim’ dan mula membuka cerita tentang kononnya ada komplot untuk mensabotaj mereka dengan harapan dapat meraih undi simpati.

Akibatnya, suasana politik yang dikatakan ideal ialah apabila masing-masing bebas untuk kata-mengata, cerca-mencerca, fitnah-memfitnah dan saling menuding jari bagi menegakkan benang yang basah.

Meniru cara sesetengah pemimpin politik, kempen politik kampus juga lebih tertumpu kepada mencari salah dan kelemahan orang lain daripada memfokuskan agenda yang sepatutnya iaitu menyelesaikan masalah mahasiswa. 

Adakah budaya begini yang mahu diangkat dan diarusperdanakan oleh para mahasiswa? Di manakah suara aktivis politik mahasiswa yang sepatutnya memperjuangkan politik matang? Atau sememangnya kelakuan kekanak-kanakan inikah yang dikategorikan mereka sebagai matang?

Jika benar begitu, ia menggambarkan kecelaruan pemikiran dalam memahami maksud matang. Hal ini memandangkan Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP) menakrifkan matang antara lainnya bermaksud, menunjukkan kesempurnaan atau kedewasaan pemikiran.

Malang sekali jika ada yang menganggap perbuatan mengetepikan adab dan budi sebagai matang, sedangkan, matang dan bijaksana bukan begitu rupanya. Hikmah akan memupuk adab yang terpuji, bukan adab terkeji.

Sedang peminat politik negara berdebar-debar menantikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, kami di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga sedang menantikan satu lagi PRK iaitu Pilihan Raya Kampus bagi kesatuan pelajar kami.

 

SAMA ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ataupun Pilihan Raya Kampus perlulah dilakukan secara herhemahlah dan budaya politik tin kosong yang tiada nilai intelektual harus dihentikan.-GAMBAR HIASAN

PILIHAN RAYA KAMPUS

Di kampus kami, kempen Pilihan Raya Kampus sedang rancak berjalan bagi beberapa jawatan utama. Bagi pelajar seperti saya yang memilih untuk sekadar memerhati dan menganalisis keadaan politik, banyak yang dapat dipelajari sepanjang kempen pilihan raya.

Pelbagai bahan kempen masuk ke suapan media sosial saya tentang kedua-dua PRK. Begitulah kelazimannya, kami yang bukan pengundi sesebuah PRK pun tidak terlepas daripada terkena tempiasnya. 

Oleh kerana sentiasa mengejar masa, saya belum berkesempatan menghadiri mana-mana program kempen di kampus. Tetapi suasananya sudah cukup hangat untuk dirasakan dari jauh. Namun walau apa pun, kita harus melangkah dengan bijak menggunakan akal budi.

Baru dua hari lalu, saya menghadiri satu siri syarahan tokoh unggul yang disampaikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Universiti Putra Malaysia (UPM). Pesanan beliau, saya sifatkan begitu bagus untuk diri dan rakan-rakan. Aktivisme biarlah dipilih secara bijaksana dan berhemah.

Semoga mereka yang bertanding baik di PRK Kuala Kubu Baharu dan juga di PRK UIAM ikhlas mahu berbakti dan akan melaksanakan amanah setelah menang nanti. 

Kempen pilihan raya bukanlah pesta memfitnah dan mencaci orang lain. Kelantangan menentang kuasa bukanlah lambang kehebatan. Jika mahu menjadi pemimpin, biarlah bijak dan bersikap bijaksana.

Berhemahlah ketika berkempen dan hentikanlah budaya politik tin kosong yang tiada nilai intelektual. Jangan dikeruhkan lagi keadaan dengan memainkan isu-isu sensitif yang akan memecahbelahkan rakyat.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×