PUTRAJAYA: “Tidak ada apa (komen) dari saya.” Itu reaksi ringkas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berhubung kewujudan titah adendum supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki tempoh pemenjaraan dengan tahanan di rumah.
Beliau yang juga anggota Lembaga Pengampunan, sebaliknya hanya menunjukkan isyarat mengunci mulut tanpa mengesahkan atau menafikan perkara berkenaan.
Zaliha berkata, isu berkenaan telah pun diulas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Sudah ada daripada Datuk Seri (Anwar), anda hanya ikut sahaja apa yang Datuk Seri sudah sebut itu, (jadi) tidak ada apa dari saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Semarak Aidilfitri anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini yang dihadiri turut dihadiri Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan
perkara berkaitan titah adendum itu di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, pendirian kerajaan mengenai semua urusan berkaitan Majlis Raja-Raja tidak boleh dicabar adalah kekal sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Sehubungan itu, kata Anwar, semua pihak perlu menerima kenyataan berkenaan perkara itu dan terus memberi tumpuan bagi menjamin keamanan serta memperkukuh kestabilan politik dan membangunkan negara.
Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Najib.
Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullahmengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihaknya terhadap permohonan dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri terbabit.
Pihak pembelaan Tengku Zafrul sebelum ini dilaporkan berkata, afidavit diikrarkan Ahli MKT UMNO itu adalah untuk menangani secara khusus pengataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.
Menurutnya, ia berikutan terdapat fakta didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan menyokong dakwaan Najib berhubung dakwaan kewujudan titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong supaya bekas ahli Parlimen Pekan itu yang kini meringkuk di Penjara Kajang untuk menghabiskan baki hukumannya dengan tahanan di rumah.
Sokongan itu diberikan Ahmad Zahid menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Beliau mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu, Tengku Zafrul memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum yang bertarikh 29 Januari 2024. – UTUSAN











