Otak dan watak: Biar bijak, jangan haprak

Otak dan watak: Biar bijak, jangan haprak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Selatan California (USC) dalam perkembangan terbaharu membatalkan seluruh majlis pengijazahan yang sepatutnya diadakan beberapa hari lagi. Ini tidak memeranjatkan kerana sudah diduga. Malah boleh dikesan beberapa minggu yang lalu apabila desus-desas mula kedengaran berkaitan ura-ura menarik balik keputusan pemidato siswazah terbaik pada majlis berkenaan.

Hal ini berikutan dakwaan yang siswazah tersebut kononnya menyatakan rasa hatinya melalui media sosial terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak tujuh bulan lalu tanpa henti. Kebetulan seorang siswi Islam yang terpilih berdasarkan kecemerlangan tertinggi.

Langkah USC itu mencetuskan bantahan dari siswa-siswi yang menyoal keputusan tersebut sebagai tidak wajar. Soal keselamatan yang diajukan sebagai sebab utama tidak dapat menyakinkan. Bak tomahan semata-mata. Lantas otak dan watak mula membentak atas andaian bahawa siswazah tersebut khasnya dan masyarakat universiti amnya, tidak berupaya menangani isu yang dibangkitkan semena-mena.

Jelas unsur-unsur ala Zionis kini merebak dalam mempertahankan perbuatan terkutuknya semasa membalas serangan awal Hamas. Kononnya semua ini boleh di bereskan sekelip mata atas keangkuhan pihak mereka tetapi tidak semudah itu.

Apatah lagi dengan keputusan hampir sebulat suara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang bersidang awal tahun ekoran tuntutan Afrika Selatan menyelar amalan zalim Israel ke atas rakyat Gaza dan Palestin setelah berdekad-dekad lamanya. Tidakpun dihiraukan sama sekali oleh dunia khususnya pihak seteru durjana.

Sejajar ini beberapa peristiwa lain berlaku dalam kalangan siswazah di beberapa kampus universiti Amerika Syarikat (AS). Terutama, Universiti Columbia yang telah memaksa siswazah ditangkap oleh polis yang dibenarkan masuk dengan tujuan menghalang kegiatan siswa-siswi. Lebih 100 orang dari kelompok pertama dipasong dan diusung. Kemudian lebih ramai lagi, melibatkan universiti-universiti lain. Pertubuhan Bangsa-Bangsa turut prihatin kekasaran pihak berkuasa.

Bukan terhad di kampus Columbia sahaja lagi, tetapi menular dengan pantas menyelubungi puluhan kampus dan ribuan siswazah di merata kampus AS.

Antaranya termasuk yang ternama seakan-akan membawa retak antara otak dan watak. Lebih dari itu, menular terus ke Eropah dan Australia atas prinsip setia kawan bertegas bahawa puak Zionis mesti di tegah sebagaimana angkatan bencikan perang Vietnam lebih 50 tahun lalu angkara kuasa AS.

Angkatan siswazah yang cukup berani ini berhadapan dengan kuasa-kuasa besar mencari keadilan sejagat yang kian luntur ditelan masa dan rasuah berkuasa. Bersuara lantang, merentasi keseluruh alam yang mampu menggerakkan kedamaian sejagat.

Kuasa-kuasa besar wajar disanggah sehingga rebah sepertimana berakhirnya percubaan menakluki Vietnam pada satu ketika dahulu. Mereka kecundang. Pulang bagaikan anjing cawat ekor.

Maka ternyalalah semula kenangan aktivisme kampus Kent State University (KSU) sebagai pencetus ketika itu sepertimana diraikan Columbia masa kini. Ada korban nyawa, wira siswazah membawa kemenangan segerombolan hebat lagi berani, tegas, matang lagi cekal. Rela menghadapi peluru, letupan dan kerakusan kuasa pseudo-politik tidak berotak mahupun watak. Hanya pandai melawak.

Langkah Universiti Selatan California (USC) yang membatalkan seluruh majlis pengijazahan mencetuskan bantahan dari masyarakat siswa-siswi yang menyoal keputusan tersebut sebagai tidak wajar ekoran pelajarnya hanya mencari keadilan sejagat yang kian luntur. -AFP

 

BOLOS
Dalam keasyikan melayan naratif ini rupa-rupa ada kebolosan di menara gading. Dalam ghairah memilih tokoh itu dan ini untuk diundang, terpilih pula yang pahit masam. Berasaskan otak sahaja, terpalit watak yang beracun. Mungkin kerana ini agak lumrah sebagai amalan apabila ramai watak yang tidak kurang beracun dipupuk untuk bersengketa ternga-nga.

Isunya mungkin lain, namun racunnya tidak kurang berbisa bertukar celaka desakan politik seadanya. Mungkin bukan sengaja, tetapi dalam suasana yang bercelaru, nila setengah titik pun sudah membinasakan minda. Mahu tidak mahu perlu menanggung malu bertebal muka apabila celaan Zionis undangan tidak dapat ditangkis.

Kebetulan ia bukan kali pertama. Masih segar dalam ingatan peristiwa seorang lagi sarjana jemputan dari AS yang hadir untuk melancarkan buku ilmiah terbarunya, tiba-tiba dikhabarkan ada arahan membatalkan usaha pada saat-saat terakhir.

Autonomi diperkosa. Tiada sebab, tanpa alasan munasabah. Tentunya bukan pro-Zionis. Tetapi boleh direka-reka sahaja mengikut nafsu kuasa. Tidak ubah siswazah pemidato USC yang terseksa. Membuta tuli sahaja.

Dewasa itu si pengarang buku pada awalnya merasa lega, Malaysia gah dan sesuai untuk pelancaran buku ilmiah tanpa prasangka seperti di rencana. Malang sekali tercalar, menjadi ngeri, terpaksa ‘menyelamatkan diri’ dalam babak lakonan berlaku di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kononnya.

Kes ini menampakkan betapa seorang kawan seagama boleh bertukar menjadi lawan. Layanan berbeza dari negara jiran rumpun. Malu sekali lagi. Tidak perlu pun hasutan Zionisme. Tetapi tidak disenangi si-anu atau si-fulan yang menggubah sandiwara sendiri, tatkala rakyat diperbodohkan sekian kali.

Pun begitu natijahnya agak sama. Biar bijak, jangan lawak akan cetusan ilmu sudah jauh berselerak. Namun banyak benak masih terjajah. Sedangkan kampus universiti kononnya terbaik dunia dipijak-pijak Gerakan Perkhemahan Gaza generasi muda. Bermakna tidak taksub dalam kepongpong pemikiran cetek dan usang tidak bercambah.

Terpaksa akur bagaikan politik tong sampah yang pernah terkisah. Menelan apa sahaja yang dihamburkan asalkan diapit ketiak. Kalau engkar menerima padah. Dizalimi. Meskipun dunia ketawa terbahak-bahak. Otak, watak, tidak lagi bijak. Sudah lama haprak!-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×