HULU SELANGOR: UMNO didakwa memperlakukan MCA sebagai tidak bermaruah apabila dikatakan tidak berunding dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam menentukan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO sebenarnya sedar Kuala Kubu Bharu selama ini diwakili MCA sebelum bertukar kepada DAP pada 2013.
Menurutnya, sebagai gabungan, kerusi kawasan tersebut wajar dikembalikan kepada MCA untuk ditandingi sebagai manifestasi kesepakatan rakan-rakan parti dalam kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Terima kasih kepada Gerakan, tengok Gerakan gentleman, ini kerusi patut diberikan kepada Gerakan, tetapi mereka sanggup beri laluan kepada Bersatu kerana apa yang penting kemenangan parti.
“Bukan macam BN, hei Presiden (Pengerusi) BN, ini kerusi MCA, tiba-tiba buat keputusan tanpa berunding dengan MCA, mana maruah? Oleh itu saya salute, saya tabik kepada MCA ada maruah menjaga integriti mereka, tidak turun berkempen hari ini,” katanya dalam ceramah umum Perikatan Nasional, malam tadi.
Malah, beliau turut mempersoalkan kepemimpinan UMNO yang berterima kasih kepada DAP apabila meminta mereka menjelaskan jasa komponen Pakatan Harapan (PH) itu sehingga sanggup beranggapan ‘hendak balas budi DAP’.
“Ini maruah MCA bukan macam UMNO, minta maaf saya tak salahkan kawan yang sedang berkempen, ini maruah UMNO di mana? Tiba-tiba presiden kata terima kasih. UMNO ucap terima kasih hendak balas budi DAP, podah. Apa jasa DAP?” soalnya.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Pengerusi BN Selangor menjelaskan BN tewas di Kuala Kubu Bharu selepas kepemimpinan parti itu meletakkan kepentingan individu melebihi parti apabila sanggup berdepan pertandingan tiga penjuru bersama PH dan Pas.
Katanya, beliau kecewa apabila perlu berdepan situasi tersebut selepas bersungguh-sungguh melaksanakan penjajaran semula sempadan pilihan raya untuk memastikan kemenangan BN walaupun di saman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Jadi, sahabat saya di luar sana, saya hendak kongsi pengalaman, saya tak salahkan UMNO di bawah, tak salah. Yang di atas, saya ada pengalaman bagaimana saya hendak susun bila jadi pengerusi perhubungan, dahulu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batang Kali masuk Kuala Kubu Bharu. Ada dua atau tiga PDM.
“Pendek kata, sampai Azmin saman bawa ke mahkamah. Betul, dia saman sebab beliau tak yakin, kalau tak lawan apa yang Noh buat, kalah PH ketika itu, Azmin cabar apa yang saya buat kerana tidak mengikut peraturan, katanya.
“Tetapi, saya sudah beritahu, Selangor kalau hendak menang jangan pecah tiga penjuru, saya jumpa Tan Sri Hadi Awang, saya merayu kata tolonglah di Selangor kalau hendak menang jangan pergi tiga penjuru, jangan BN lawan dengan PH, lawan pula dengan Pas.
“Saya kata confirm PH akan menang. Kalah, betul, habis, BN habis Pas pun habis,” jelasnya. – UTUSAN










