HULU SELANGOR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendakwa Pakatan Harapan (PH) menggunakan aset kerajaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan itu adalah satu perkara yang tidak bermoral dan bercanggah dengan prinsip integriti dalam berpolitik.
“PH telah menyalahgunakan aset kerajaan untuk berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu dengan menggunakan semua program dan inisiatif kerajaan di Kuala Kubu Baharu tetapi memberi alasan semua hanyalah kebetulan.
“Contohnya, program Rumah Terbuka Aidilfitri pada 27 April lalu yang didakwa kebetulan pada hari berkempen telah mengundang kekecewaan penduduk yang pelik dengan anjuran kerajaan Selangor di tempat yang tidak sesuai,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.
Namun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah kebetulan diadakan bagi meraikan perbezaan dan mengukuhkan hubungan serta keharmonian masyarakat yang berbilang kaum.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, tindakan kerajaan negeri itu menyebabkan rakyat sukar menjalankan aktiviti dan memberi kesan kepada peniaga-peniaga setempat.
Sehubungan itu, beliau berkata, PN kini sedang mempertimbangkan untuk melakukan petisyen terhadap PH yang didakwa menyalahgunakan aset kerajaan untuk berkempen.
“Buat masa sekarang, PN masih berbincang bersama pegawai undang-undang untuk membuat petisyen tersebut,” katanya.
Katanya, PH perlu bertanding secara sihat dan tidak menggunakan jentera kerajaan atau dana awam untuk kepentingan politik peribadi.
Beliau juga menyeru kepada penduduk Kuala Kubu Baharu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian pada 11 Mei. – UTUSAN










