IZMIR: Berang dihina selepas putus cinta, seorang lelaki membuat lebih 50 pesanan makanan di beberapa restoran di Izmir, Turkiye dan menghantarnya ke alamat bekas kekasihnya tinggal.
Insiden itu berlaku pada minggu lalu, kira-kira pukul 9 malam apabila lebih 50 pesanan kurier muncul di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Çimen, di daerah Balçova, Izmir.
Penghantaran luar biasa itu dirakamkan dalam video oleh orang yang lalu-lalang dan tular dalam media sosial Turkiye.
Akhbar tempatan juga menyiasat cerita di sebalik kejadian berkenaan.
Ternyata seseorang menggunakan penghantaran tunai dari aplikasi penghantaran makanan Turkiye, Yemeksepeti yang dipesan di bawah nama palsu dan menghantar semuanya ke alamat yang sama.
Lelaki berkenaan juga tidak hirau menggunakan nombor telefon sebenarnya sebaliknya menggunakan nombor yang mencurigakan 0555 555 55 55.
Beberapa restoran yang menerima tempahannya menyedari nombor pelik itu dan cuba menghubunginya untuk pengesahan.
Lebih 50 pesanan dihantar ke alamat yang sama dan terdapat video menunjukkan 25 orang penghantar makanan menunggu di hadapan bangunan yang sama untuk mengutip bayaran.
Tidak ada restoran yang memfailkan aduan kepada polis berhubung kejadian itu, jadi tiada sesiapa pun bersusah payah mencari suspek.
Tetapi, beberapa kedai makan di Izmir yang dihubungi pemberita mengaku menjadi mangsa gurauan tersebut.
Seorang pemilik restoran berkata bahawa beberapa restoran lain menelefon untuk memberi amaran kepada mereka tentang pesanan palsu itu, tetapi pada masa itu makanan sudah dihantar keluar. – AGENSI











