Nahas helikopter: Jangan buat spekulasi, beri ruang siasatan

Nahas helikopter: Jangan buat spekulasi, beri ruang siasatan

MOHD. Termizi Abdul Ghani menunjukkan gambar anaknya, Mohd. Shahrizan yang terkorban dalam nahas helikopter TLDM di Lumut pada Selasa lalu. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ahli keluarga mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut Selasa lalu percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan segera dan telus mengenai punca tragedi yang mengorbankan 10 nyawa itu.

Mohd. Termizi Abdul Ghani, 68, yang kehilangan anaknya, Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan, 41, dalam tragedi itu berkata, berikutan itu orang ramai tidak wajar membuat spekulasi sendiri mengenai punca nahas tersebut.

Menurutnya, pelbagai spekulasi mengenai punca tragedi itu sudah tentu mengganggu emosi keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya sebagai bapa sudah tentu bersedih dengan tragedi ini, namun saya reda, saya percaya ini takdir yang sudah tercatat, ini semua kehendak Tuhan.

“Memang kami mahu tahu punca kejadian ini tetapi biarlah ia disiasat oleh pihak yang ber­kenaan, pihak yang layak dan mempunyai kepakaran.

“Janganlah buat spekulasi, andaian. Pelbagai andaian yang diperkatakan sudah tentu mengggangu emosi kami keluarga mangsa yang terlibat ini.

TELUS

“Saya percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan dengan segera dan telus apatah lagi kejadian ini melibatkan ramai mangsa.

“Kita tunggu hasil siasatan. Apa pun kemalangan, baik pun di udara, darat, sungai dan di jalan raya dan melibatkan nyawa, mesti kena siasat. Inikan pula tragedi sebesar ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jenazah Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi, yang terkorban dalam nahas helikopter Selasa lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, dekat sini pada pukul 10 malam kelmarin.

Jasad Allahyarham disemadikan mengikut Istiadat ketente­raan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pukul 9.30 malam di hadapan lebih 500 ahli keluarga, rakan taulan dan penduduk setempat.

Sementara itu, Mohd. Termizi berkata, Mohd. Shahrizan merupakan anak sulung daripada tujuh beradik seorang yang sangat mengambil berat mengenai soal keluarga.

Katanya, anaknya itu menjadi orang pertama yang membantu apa sahaja untuk keluarga.
“Rumahnya tidak jauh dari rumah ini, hanya satu kilo­meter. Boleh dikatakan setiap hari dia datang berjumpa saya dan emaknya, melihat keadaan kami. Hanya saya dan isteri, Asnaf Yassin, 67, yang tinggal di rumah ini.

“Kami reda atas apa yang berlaku, dia pergi semasa bertugas, Allah sayangkan dia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN