Ramai diramal tidak keluar mengundi PRK Kuala Kubu Bharu

Ramai diramal tidak keluar mengundi PRK Kuala Kubu Baharu

prk
PH berdepan risiko kalah walaupun letakkan calon kaum Tionghoa jika peratusan keluar mengundi kaum Cina rendah dalam PRK Kuala Kubu Baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan peratusan keluar mengundi pada PRK di Kuala Kubu Baharu kurang 70 peratus bukan perkara baharu malah sering berlaku pada beberapa siri PRK sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, orang ramai tidak mahu keluar mengundi antaranya mungkin merasakan undi mereka tidak beri kesan kepada kehidupan seharian mereka.

“Sama ada mereka mengundi ataupun tidak, situasi ekonomi semasa tetap tidak berubah dan bagi rakyat biasa, apa yang pen­ting adalah kelangsungan hidup mereka dari hari ke hari.

“Kebanyakan pengundi yang tidak cenderung untuk keluar mengundi juga mungkin fikir bahawa jika PN menang, parti itu masih tidak dapat menubuhkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, persepsi peng­undi bahawa PRK tidak memberikan apa-apa implikasi yang besar kepada diri mereka dan negara antara yang mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dijangka kurang daripada 70 peratus.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau menjangkakan peratus keluar mengundi kurang atas beberapa faktor antaranya termasuk laporan mengatakan pengundi Melayu dan India tidak berminat keluar mengundi pada PRK berkenaan.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, antara faktor lain peratusan keluar mengundi merosot disebabkan pertembungan calon DAP dengan pengundi UMNO.

“Mungkin ada undi protes di mana kemungkinan pengundi yang menyokong UMNO selama ini tidak berpuas hati sekali lagi mereka berdepan dengan DAP walaupun mereka di bawah kerajaan yang sama.

“Jika PN menang, mereka masih lagi tidak boleh menubuhkan kerajaan dan menyebabkan mereka berfikir jika mereka pulang untuk mengundi, tidak akan berubah apa apa,” ujarnya.

Dalam PRK DUN Pelangai di Bentong pada 6 Oktober 2022, peratusan yang keluar mengundi adalah 72.12 peratus; PRK DUN Jepak di Sarawak pula peratusan keluar mengundi hanya 48.57 peratus manakala PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember lalu, peratusan keluar mengundi adalah 65.76 peratus daripada keseluruhan 141,790 pengundi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×