Fidyah: Lelaki juga wajib ambil tahu - Utusan Malaysia

Fidyah: Lelaki juga wajib ambil tahu

UMAT Islam berbuka puasa berlatar belakang pemandangan Jambatan Angkat Kuala Terengganu di Dataran Taman Shahbandar pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN semakin dekat. Antara isu yang sering mengundang pertanyaan ialah fidyah. Kaum Muslimah selalunya lebih mengambil berat isu fidyah. Namun realitinya, orang lelaki juga wajib mengambil tahu mengenainya.

Fidyah adalah bayaran wajib yang dikenakan ke atas mereka yang meninggalkan puasa Ramadan dan tidak segera menggantikannya sehingga masuk Ramadan berikutnya. Ia boleh juga diibaratkan seperti ‘denda’ atas kelalaian seseorang.

Di Malaysia, fidyah pada asalnya dibayar dengan beras sebagai makanan asasi. Kadar fidyah pula ialah 1/4 daripada harga beras fitrah. Misalnya di Selangor, harga beras fitrah ialah RM7, maka harga fidyah ialah RM1.75. Jumlah ini bersamaan secupak beras. Namun, sesetengah negeri atau negara mempunyai jenis makanan dan harga fidyah yang berbeza-beza.

Menurut qaul (pendapat) yang muktamad di sisi Mazhab Syafie, mereka yang mengabaikan puasa gantinya sehingga melewati Ramadan yang berikutnya, maka mereka wajib menggantikannya dengan disertai bayaran fidyah yang berganda.

Maksudnya, jika tiga tahun dia tidak menggantikannya, maka dia wajib berpuasa dan membayar fidyah dengan gandaan tiga. Contohnya, jika empat hari dia tidak berpuasa, maka empat hari x tiga tahun = 12 x RM1.75 = RM21. Harus difahami, hanya bayaran fidyah yang berganda, namun jumlah qada (ganti) puasa tidaklah berganda.

Namun, ada negeri tertentu yang mengambil pendekatan tidak mewajibkan gandaan fidyah dan menyerahkannya kepada kemampuan individu berkaitan. Dalam keadaan berkenaan, sangat molek bagi mereka yang berkemampuan untuk menggandakan fidyahnya.

Penerima fidyah juga tidak boleh sembarangan orang. Hanya mereka yang berstatus fakir dan miskin sahaja yang layak menerima fidyah. Oleh itu, jika mahu menaja majlis iftar atau membuat kenduri dengan wang fidyah, wajiblah dipastikan semua tetamu ialah fakir dan miskin sahaja. Hal ini pastilah menyusahkan.

MENGANDUNG

Oleh itu, alternatifnya adalah dengan terus membayar fidyah kepada pihak yang berkenaan. Fidyah itu boleh ditukar ke dalam bentuk wang dan ditunaikan di kaunter zakat mahupun menyalurkan sendiri kepada fakir miskin.

Jika disalurkan sendiri, sebaik-baiknya dimaklumkan kepada penerima bahawa wang berkenaan ialah fidyah. Dengan itu, orang berkenaan tidak akan membeli barang-barang selain makanan yang mengenyangkan atau menyalahgunakan wang fidyah dengan membeli rokok atau makanan ringan.

Selain beras, wang fidyah juga boleh digunakan untuk membeli makanan utama lain seperti telur, tepung, minyak masak, susu dan sebagainya. Syaratnya, ia mestilah makanan yang mengenyangkan dan bersifat pelengkap makanan utama.

Jika seorang ibu sedang mengandung dan menyusukan bayi, lalu dia tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia hanya wajib mengganti puasanya sahaja dan tidak wajib membayar fidyah. Melainkan dia tidak mengganti puasanya sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya. Wajiblah dia membayar fidyah.

Bagaimanapun, jika wanita yang hamil dan menyusukan anak itu tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wanita itu wajib mengganti puasa dan wajib juga membayar fidyah sekali gus. Ini kerana, dia meninggalkan puasa demi menjaga kepentingan orang lain dan bukan kepentingan dirinya sendiri.

Bagi orang tua yang terlalu uzur untuk berpuasa atau mereka yang sakit berpanjangan sehingga tidak mengizinkannya berpuasa, malah jika dia memaksakan diri berpuasa akan membawa mudarat, cukuplah dengan membayar fidyah sahaja dan tidak wajib berpuasa.

Jika seseorang itu mendapat kemalangan lalu koma selama 20 tahun dan baru sedar pada hari ini, maka sepanjang dia koma 20 tahun itu hendaklah dibayarkan fidyah sahaja dan tidaklah wajib baginya mengganti puasa, kerana koma adalah melibatkan kesihatan dirinya. Namun, jika koma hanya beberapa hari sahaja, wajiblah dia mengganti puasa.

TAUBAT

Dalam dunia ini, terdapat kes-kes tertentu yang sangat ekstrem, iaitu ada segelintir individu yang tidak pernah berpuasa sejak akil baligh. Maka, pengiraannya berbeza bagi lelaki dan wanita.

Bagi lelaki, sila tentukan usia baligh dan paling lewat ialah 15 tahun. Jika usianya kini ialah 50 tahun, maka dia wajib mengganti puasanya dengan kiraan berikut, 35 tahun x 30 hari = 1,050 hari. Bukan itu sahaja, dia juga wajib membayar fidyah sebanyak 1,050 hari x RM1.75 = RM1,837.50. Ini bagi kes di Selangor yang mengizinkan tidak berganda. Jika berganda, maka kiraan akan menjadi sangat tinggi.

Bagi wanita, maka sila tentukan usia baligh. Biasanya wanita baligh lebih awal. Katakan 12 tahun, dan kini usianya 50 tahun. Tentukan juga jumlah hari haid yang menghalangi dia berpuasa. Katakanlah 10 hari sebulan. Maka, setiap bulan dia hanya wajib berpuasa 20 hari.

Maka, dia wajib mengganti puasanya dengan kiraan, 38 tahun x 20 hari = 760 hari. Bukan itu sahaja, dia juga wajib membayar fidyah sebanyak 760 hari x RM1.75 = RM1,330. Ini adalah bagi Selangor yang mengizinkan tidak berganda, jika negeri-negeri yang berganda pasti jumlahnya lebih tinggi.

Jumhur (majoriti) ulama menyatakan bahawa diwajibkan bagi orang yang dengan sengaja tidak berpuasa untuk menggantikan puasanya. Ini kerana, mereka tidak berpuasa kerana kelalaiannya sendiri.

Malah, di samping mengganti puasa dan membayar fidyah, mereka juga wajib bertaubat dengan taubat nasuha (sebenar-benarnya). Mudah-mudahan jika mereka mati sebelum sempat habis mengganti puasanya, Allah SWT telah mengampuni dirinya.

Namun, jika ada yang meninggal dunia dan masih mempunyai bayaran fidyah yang belum lunas, maka pihak waris wajib mengambil harta si mati untuk melunaskan semua baki fidyahnya.

Jika si mati tidak berharta, maka pihak waris boleh menggunakan harta mereka sendiri untuk membantu menjelaskan bayaran fidyah. Ini kerana, fidyah itu jika tidak dilunaskan di dunia, maka ia akan menjadi hutang di sisi Allah SWT yang bakal dituntut di akhirat kelak.

PENULIS ialah Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×