KEPALA BATAS : Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini dalam perancangan untuk membangunkan satu projek ekopelancongan berskala besar di Pulau Pinang dalam usaha membantu ahli koperasi di sini untuk menjana pendapatan lebih tinggi.
Selain ahli koperasi, projek yang melibatkan penggunaan feri atau bot untuk membawa pelancong bersiar-siar ke beberapa lokasi menarik di negeri ini itu juga dijangka memberi manfaat yang besar kepada komuniti setempat khususnya nelayan apabila siap kelak.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ketika ini, pihaknya sedang cuba mendapatkan kerjasama daripada beberapa pihak terutamanya syarikat swasta selain kerajaan negeri untuk menjayakan projek yang dikenali sebagai Projek Perairan Selat Selatan itu.
“Saya melihat ini sebagai satu peluang yang besar untuk penduduk (menambah pendapatan masing-masing) dan buat permulaan juga, mungkin kita akan cuba buat pakej (ekopelancongan) yang mudah dan ringkas.
“Untuk jangka panjang pula, kita kena pastikan tempoh masa lawatan terlebih dahulu. Mungkin dua atau tiga hari. Jadi, mungkin perlukan ‘resort’.
“Dalam hal ini, Angkasa meletakkan sasaran untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa. Tak dapat 10 peratus, dapat 0.5 peratus pun dah ‘OK’ buat permulaan ini. Saya yakin projek ini akan berjaya jika mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Angkasa Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid di Bertam Resort, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Angkasa Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Othman memberitahu, ketika ini, beberapa jeti telah dikenal pasti untuk memulakan projek tersebut, namun katanya, ia perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu.
Kata beliau, antara jeti itu termasuk Jeti Pantai Jerejak, Jeti Karpal Singh dan Jeti Pantai Seagate manakala destinasi utama yang akan diberi tumpuan di bawah Projek Perairan Selat Selatan itu buat masa ini termasuk Pulau Aman.
“Jabatan Laut juga telah beri kelulusan untuk kita gunakan feri yang boleh memuatkan sehingga 20 penumpang.
“Bentuk dan reka bentuk feri itu pula adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Laut sendiri,” katanya yang memaklumkan, ketika ini, terdapat dua buah feri yang akan digunakan untuk tujuan berkenaan.
Tambah Mohd. Jamil, pihaknya merancang untuk melibatkan sekurang-kurangnya 15 buah koperasi di negeri ini untuk projek tersebut dan sekiranya ia berjalan mengikut jadual, pelancaran akan dibuat hujung tahun ini juga.-UTUSAN










